Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Pasukan Kampung Buangkok FC dari Republik Singapura berjaya menundukkan pasukan Almerez FC dengan keputusan 6-2 pada perlawanan persahabatan di Dewan Serba guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.
Kemenangan manis skuad futsal itu sekali gus membalut kehampaan setelah tewas 2-4 ke atas pasukan Kasuka Ar-Rawda pada perlawanan persahabatan pertama mereka baru-baru ini.
“Kami turun dengan semangat yang tinggi selepas gagal pada perlawanan pertama.
“Pemain-pemain telah berjaya menyesuaikan diri dan berjaya membaca rentak pasukan Almerez FC yang pantas. Kami menggunakan kesempatan dengan berkesan sehingga berjaya memenangi perlawanan dengan bergaya,” jelas penjaga gol utama pasukan Kampung Buangkok FC, Kenneth Kwang yang berharap untuk menyertai Liga Futsal Brunei pada sesi depan akan tercapai.
Pasukan Kampung Buangkok FC pada awalnya berdepan detik cemas apabila gawang mereka berjaya dibolosi pada minit ke-7 menerusi Muhammad Nur Faizal Haji Mohd Kamaruden.
Namun pemain import Almerez itu terpaksa menyalahkan diri sendiri apabila bola mengenainya dan masuk ke gawang sendiri seminit selepas itu.

Pertemuan semakin menarik apabila pemain lincah, Bambang Bayu Saptaji meletakkan pasukan Kampung Buangkok FC di depan apabila ledakan kencangnya gagal diselamatkan penjaga gawang Almerez pada minit ke-11.
Kemudian, Raka Febianto pula mengambil kesempatan dengan melepaskan rembatan dari jarak jauh yang berjaya menerjah gawang pasukan Almerez selepas menyaksikan pintu gawang pasukan lawan ternganga pada minit ke-19.
Peminat sukan futsal yang memenuhi tempat perlawanan terus dihidangkan dengan aksi menarik daripada kedua-dua buah pasukan dalam usaha menambah jaringan.
Pasukan Almerez berjaya menambah jaringan pada minit ke-33 menerusi Muhammad Nur Faizal tetapi kelalaian pertahanan Almerez memberikan ruang buat Kelvin SO Khishan untuk merobek gawang Almerez.
Sementara itu, Bambang Bayu Saptaji membuktikan kehebatannya sebagai pemain futsal kebangsaan Indonesia yang berpotensi menerusi jaringan menarik pada minit ke-38.
“Pasukan Almerez lebih banyak menguasai perlawanan. Namun serangan-serangan yang dilakukan gagal menemui sentuhan gol.
“Perlawanan ini menjadi pengalaman terbaik kepada keseluruhan pemain terutama pemain muda apabila berdepan dengan pemain futsal dari luar negara,” jelas Ketua Jurulatih Pasukan Almerez FC, Haji Abdul Azim Haji Zakaria.