Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Pasukan Almerez Hitune FC berjaya merampas kedudukan puncak Liga Futsal Elit Brunei (BEFL) selepas berjaya menewaskan pasukan DDT FC dengan keputusan 9-5 di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.
Kemenangan penuh dramatik itu menyaksikan anak buah Haji Mohd Azim yang ketinggalan 0-2, berjaya bangkit menggunakan ruang terbuka untuk membolosi gawang pasukan DDT FC.
Pemain import dari Iran, Abolfazl Minouei Hussein mencatat malam yang gemilang apabila menjadi peledak jaringan enam biji gol sementara Iqbal Pasaribu, Awangku Mohd Wazien dan Harith Hidawi masing-masing menyumbat satu jaringan.
Pasukan DDT yang berusaha keras mencari kemenangan sulung berjaya menghidupkan rentak menarik apabila Awangku Mohd Azreen Eskandar mengejutkan pasukan Almerez Hitune FC dengan jaringan seawal minit pertama.
Pemain pantas pasukan dari Daerah Temburong itu kembali menggegarkan gawang Almerez Hitune FC di minit ke-9 untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Persaingan semakin sengit apabila Abolfazl Minouei Hussein berjaya merapatkan kedudukan di minit ke-15 tetapi Awangku Mohd Azreen Eskandar bijak melakukan sentuhan hatrik beberapa saat selepas itu.
Drama berbalas jaringan menerusi jaringan gol daripada Muhd Nur Syazwan dan Roland John Gary di minit ke-14 dan ke-15 menyaksikan sentuhan terbaik DDT FC.
Namun aksi garang DDT FC mula kendur di babak kedua apabila serangan-serangan mereka disekat di bahagian pertahanan, sebaliknya pasukan Almerez Hitune FC pula menukar rentak permainan yang berjaya menambah jaringan sebanyak empat gol untuk melengkapkan kemenangan terbesar 9-5 pada persaingan BEFL sejak tirai kejohanan dibuka.
“Saya gembira atas keupayaan pemain-pemain yang melakukan comeback selepas ditinggalkan dua jaringan. Pemain bijak menutup kesilapan itu dan berjaya merubah permainan dengan melakukan serangan yang sangat berkesan sehingga menyumbang kepada kejayaan ini,” jelas Haji Mohd Azim.
Beliau juga memuji pasukan DDT FC yang memberikan saingan sengit sekali gus membuktikan pasukan itu sudah mula bangkit dalam kejohanan BEFL musim ini.