Monday, July 14, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Almerez Hitune iktiraf pemain cemerlang

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Pengurusan dan pemain-pemain Kelab Futsal Almerez Hitune yang menampilkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan Liga Futsal Brunei (BFL) 2024-2025 telah menerima pengiktirafan dan penghargaan.

    “Pencapaian terbaik berkenaan mengambarkan usaha yang bersungguh-sungguh para pegawai dan pemain untuk meningkatkan imej dan kejayaan kelab ini. Saya yakin kelab ini akan terus berjaya di kejohanan-kejohanan yang lain nanti,” jelas Pengurus Am Kumpulan Syarikat Hitune, Awang Ermaheidi bin Haji Jailani semasa berucap pada majlis Malam Gala Kelab Futsal Almerez Hitune yang berlangsung di Kiulap, baru-baru ini.

    Awang Ermaheidi berkata penubuhan pasukan Kelab Futsal Almerez Hitune merupakan inisiatif yang mencerminkan semangat kesukanan yang tinggi dalam memupuk perpaduan dan kerjasama serta gandingan Kelab Almerez dan Kumpulan Syarikat Hitune.

    “Kerjasama ini juga merupakan satu langkah penting selaras dengan platform Kumpulan Syarikat Hitune bagi membantu perkembangan sukan di Negara Brunei Darussalam,” ujarnya.

    Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (FABD), Pengiran Haji Kamarunsalehin bin Pengiran Kamis selaku tetamu kehormat majlis berkenaan telah menyampaikan anugerah-anugerah kepada barisan pengurusan pasukan.

    Pengurusan dan pemain-pemain Kelab Futsal Almerez Hitune yang menampilkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan Liga Futsal Brunei (BFL) 2024-2025 telah menerima pengiktirafan dan penghargaan di majlis Malam Gala Kelab Futsal Almerez Hitune yang berlangsung di Kiulap, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Anugerah Ketua Jurulatih Terbaik diterima Haji Muhammad Abdul Azim bin Haji Zakeria, manakala Anugerah Penjaga Gol Terbaik diberikan kepada Awang Muhd Shukri bin Makhbar dan Haji Samhiri bin Haji Suhaili menerima Anugerah Pengurus Terbaik.

    Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Hitune, Pengiran Zamri bin Pengiran Bujang telah menyampaikan anugerah pemain-pemain terbaik sepanjang kejohanan BFL 2024-2025

    Anugerah Pemain Paling Komited disampaikan kepada Awang Mohammad Aiman bin Juni yang menjalani 96 kali latihan dan menjadi penjaga gol sebanyak 14 kali perlawanan.

    Beliau yang selaku penjaga gol utama Kelab Futsal Almerez Hitune itu juga menerima Anugerah Penjaga Gol Terbaik.

    Anugerah Pemain Paling Meningkat pula diberikan kepada Awang Mohammad Ikmal bin Samsul dan Anugerah Pemain Paling Konsisten menjadi milik Awang Ahmad Afif As’ad bin Awang Ali sementara pemain muda berpotensi, Awang Harith Hidawi bin Kamsul dipilih sebagai Pemain Muda Terbaik.

    Pemain dari Iran, Abolfazl Minouei Hussein yang mencipta 14 jaringan menerima Anugerah Best Anchor manakala Anugerah Best Ala diberikan kepada Syazwan bin Haji Hassan dan Anugerah Best Pivot diberikan kepada Awangku Mohd Amirul Haziq bin Pengiran Kamshulzaman.

    Malam gala berkenaan turut menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Hitune, Dayang Hernah Nur Imani binti Muhd Jeffrey menyampaikan sijil dan plak sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen, pengorbanan dan perjuangan semua pemain dan pengurusan pasukan yang telah menjadi nadi penting kepada kejayaan pasukan Kelab Futsal Almerez Hitune.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda