Monday, October 21, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Almerez Hitune pamer kuasa benam Futbolismo FC

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Pasukan Almerez Hitune FC menampilkan aksi menyerlah dengan kemenangan besar ke atas pasukan Futbolismo FC dengan jaringan 10 berbalas kosong dalam perlawanan persahabatan di Stadium Tertutup Miri, Sarawak, kelmarin.

    “Selain sebagai persiapan perlawanan BEFL 2024/25, perlawanan persahabatan ini juga bertujuan memantapkan minda dan meningkatkan prestasi pemain-pemain dalam menghadapi pasukan-pasukan luar negeri”.

    Perkara berkenaan dikongsikan oleh ketua jurulatih Almerez Hitune FC, Haji Muhd Azim Haji Zakaria, ketika dihubungi dan seterusnya menjelaskan perlawanan berkenaan menampilkan cara permainan yang berbeza dengan intensiti lebih tinggi dan menguji reputasi semua pemain.

    Beliau turut gembira dengan keupayaan pemain-pemain melaksanakan taktik permainan dan strategi perlawanan serta penampilan power play yang menyerlah hingga memperoleh kemenangan besar.

    “Kita berharap momentum baik ini dapat dikekalkan untuk menghadapi perlawanan BEFL yang seterusnya,” tambahnya.

    Pasukan Futbolismo FC adalah salah sebuah pasukan futsal terbaik di Miri, Sarawak yang berpengalaman menyertai kejohanan-kejohanan futsal tempatan termasuk Liga Hero Futsal Miri 22/23 dan juga akan menyertai kejohanan Yakin Madani Futsal League yang akan membuka tirai minggu ini.

    Hadir menyaksikan perlawanan tersebut, Pengarah Urusan Hitune Group of Companies dan Yakin Football League, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang; serta Ketua Pegawai Eksekutif Hitune Group of Companies dan Yakin Football League, Dayang Hernah Nur Imani binti Muhd. Jeffrey.

    Gambar ramai pasukan Almerez Hitune FC di Stadium Tertutup Miri, Sarawak. – GAMBAR SERAHAN ALMEREZ HITUNE
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda