Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Persaingan Kejohanan Liga Futsal Elit Brunei (BEFL) 2024/2025 diteruskan lagi dengan menyaksikan kerancakan pasukan Almerez Hitune FC dalam mengatur corak permainan telah berjaya mengekalkan rekod bersih selepas menafikan cabaran sengit pasukan Kota Ranger BK FC pada persaingan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Universiti Brunei Darussalam, kelmarin.
Pasukan Kota Rangers BK FC yang berusaha bangkit selepas tewas kepada pasukan Buangkok FC bagaimanapun tersentak apabila sengatan taktikal Almerez Hitunes FC terlalu berbisa buat pasukan Kota Rangers BK FC yang tewas 5-2.
Pada awal minit perlawanan, pasukan Kota Ranger BK FC berjaya menampilkan permainan yang teratur, namun mula goyah apabila gawang mereka berjaya dibolosi menerusi rembatan kencang Iqbal Pasaribu pada minit ke-4.
Kemudian, Mohd Hazim pula meletakkan pasukan Almerez Hitune FC di hadapan dengan jaringan 2-0 selepas pemain muda itu bijak mengambil kesempatan untuk menggegarkan gawang Kota Ranger BK BF pada minit ke-13.
Perlawanan semakin rancak apabila Mohd Rohzaimi berjaya merapatkan kedudukan menjadi 1-3 menerusi serangan balas pada minit ke-18 namun rentak pantas pasukan Kota Ranger BK FC terhalang seketika apabila Almerez Hitune FC menerusi Ahmad Afif berjaya menambah jaringan pada minit ke-25.
Peluang skuad Kota Ranger BK FC kembali terbuka apabila Pengiran Mohd Khairul berjaya menyumbat jaringan pada minit ke-38, tetapi mereka mula lesu apabila Iqbal Pasaribu berjaya menyempurnakan hadiah sepakan penalti. Serangan solo Mohd Hazim juga berjaya meranapkan hasrat besar pasukan Kota Ranger BK FC untuk kedudukan muktamad 5-2.
“Pemain-pemain telah berjaya melakukan taktikal permainan dan perancangan yang sangat berkesan.
“Mereka juga berjaya menukar sistem perlawanan bagi mengimbangi corak serangan dan memerangkap serta melemahkan pasukan lawan untuk mengukir kemenangan ini,” jelas Ketua Jurulatih Almerez Hitune FC, Haji Mohd Abdul Azim bin Haji Zakaria.