Wednesday, April 16, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Almerez kekal pencabar utama BEFL

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Persaingan Kejohanan Liga Futsal Elit Brunei (BEFL) disambung kembali dengan menyaksikan kejayaan pasukan Almerez Hitune FC menambah mata penuh selepas menghampakan pasukan MS ABDB 3-2, dalam perlawanan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan UBD, kelmarin.

    Sekalipun memperoleh kemenangan tipis, pasukan Almerez Hitune FC kekal di tangga kedua liga dan terus menjadi pencabar utama kepada pasukan Kasuka Ar Rawda yang menerajui carta puncak liga BEFL 2024/2025.

    “Pemain-pemain berjaya melaksanakan corak permainan berkesan. Kejayaan mencipta dua jaringan awal menjadi kelebihan yang menjadi tekanan kepada pasukan lawan,” jelas ketua jurulatih pasukan Almerez Hitune FC, Haji Mohd Azim bin Haji Zakaria.

    Beliau mengakui menerima saingan daripada pemain-pemain pantas MS ABDB namun kegigihan barisan pemain terutama di benteng pertahanan telah menyumbang kepada kejayaan.

    “MS ABDB lebih kerap mempamerkan permainan power play tetapi setiap serangan mereka dapat dipertahanankan sehingga kita berjaya menewaskan pasukan itu sebanyak dua pusingan,” jelasnya.

    Pemain Almerez Hitune FC semasa perlawanan menentang MS ABDB, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN BEFL

    Sentuhan pemain import dari Iran, Abofazl Minouel Hussein mencipta jaringan awal di minit ke-6 dan seminit selepas itu, Ahmad ‘Afif As’ad Awang Haji Ali tidak melepaskan peluang melebarkan jaringan menjadi 2-0.

    MS ABDB yang menampilkan saingan menarik berjaya mengegarkan gawang lawan di minit ke-11 menerusi Awangku Mohd Jumatatul Aleshahrezan sementara abangnya, Awangku Mohd Idzzaham Aleshahmezan berjaya merapatkan kedudukan di minit ke-30.

    Pasukan Almerez Hitune berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-26 menerusi jaringan Muhammad Iqbal Pasaribu.

    MS ABDB terpaksa pulang hampa apabila anak didik Haji Mohd Azim berjaya mengukuhkan benteng pertahanan sehingga ke wisel penamat dengan jaringan 3-2.

    Sementara itu, pasukan Shah United pula berjaya memperbaiki kedudukan selepas membelasah pasukan DDT FC dengan keputusan 12-2.

    Dengan kemenangan itu, pasukan Shah United berada di tangga ke-4 de-ngan mengutip 12 mata hasil daripada empat kemenangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda