Wednesday, July 23, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Almerez muncul juara Futsal Belia B-16

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Akademi Futsal Almerez muncul juara dalam Kejohanan Futsal Belia Bawah 16 Tahun (B-16) sempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79.

    Kejohanan yang dianjurkan secara bersama oleh Pertubuhan Bolasepak Daerah Brunei dan Muara (PBDBM) dan Akademi Futsal Al-Mujaahidun itu berlangsung dalam format liga mini dan menyaksikan penyertaan tiga pasukan iaitu Akademi Futsal Almerez, Akademi Futsal Al-Mujaahidun B-16, dan Almerez Hitune.

    Saingan berlangsung sengit, dengan Almerez dan Al-Mujaahidun masing-masing menamatkan kejohanan dengan jumlah mata yang sama. Namun, kelebihan jaringan 5 berbalas 2 memihak kepada Almerez untuk dinobatkan sebagai juara. Al-Mujaahidun terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala Almerez Hitune menduduki tempat ketiga.

    Kejohanan ini merupakan inisiatif perintis yang signifikan dalam usaha memperkasa pembangunan futsal peringkat akar umbi, khususnya bagi golongan belia bawah 16 tahun di negara ini. Ia turut mencerminkan komitmen PBDBM dan Akademi Futsal Al-Mujaahidun dalam menyediakan lebih banyak platform kompetitif untuk mencungkil potensi dan bakat muda dalam sukan futsal tempatan.

    Dengan kejohanan B-16 berakhir dengan jayanya, PBDBM dan Akademi Futsal Al-Mujaahidun kini giat membuat persiapan untuk menganjurkan Kejohanan Futsal Belia Bawah 19 Tahun (B-19) sempena sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan yang ke-79.

    Kejohanan B-19 tersebut dijadualkan berlangsung pada 23 Julai dan bakal menampilkan empat pasukan iaitu Almerez Hitune, Silveredz, Kedayan FT dan IBTE NRC.

    Pasukan Akademi Futsal Almerez menjulang trofi kejuaraan Kejohanan Futsal Belia Bawah 16 Tahun (B-16). – GAMBAR SERAHAN PBDBM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda