Oleh Sim Y. H.
Menteri-menteri buruh negara-negara anggota ASEAN termasuk Negara Brunei Darussalam dan rakan-rakan kerjasama iaitu Republik Rakyat China, Republik Korea dan Jepun komited untuk mencapai matlamat bersama iaitu bagi pertumbuhan dan pemulihan yang mampan serta inklusif serantau yang memastikan pekerjaan yang baik untuk semua serta sokongan bagi kualiti kehidupan untuk penduduknya.
Para menteri yang bersidang juga menekankan komitmen untuk mencapai matlamat-matlamat termasuk peluang untuk pembangunan, gaji yang baik, pekerjaan dan keusahawanan yang harus dapat diakses oleh semua terutamanya mereka yang hidup di kawasan pedalaman dan miskin, mereka yang kurang upaya, wanita yang terdedah, warga emas, pekerja informal dan berkemahiran rendah serta juga kumpulan-kumpulan terdedah yang lain.
Komitmen berkenaan ditekankan oleh para menteri buruh ASEAN, China, Republik Korea dan Jepun dalam kenyataan bersama bagi Mesyuarat Menteri-menteri Buruh ASEAN Plus Three (ALMM+3) ke-12 yang berlangsung di Manila, Filipina pada 29 Oktober lalu.
Semasa mesyuarat berkenaan, para menteri yang bersidang telah berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam usaha memulihkan pasaran buruh daripada impak pandemik COVID, sambil menyesuaikan diri kepada transformasi pesat dalam dunia pekerjaan disebabkan oleh kemajuan teknologi, pendigitalan, penghijauan ekonomi serta masyarakat menua.
Mereka juga menyatakan sokongan kepada tiga keutamaan yang dikemukakan oleh pengerusi mesyuarat iaitu Filipina dalam 2022-2024 bagi mempromosikan pendigitalan dan ICT untuk merapatkan jurang digital dan penyisihan, memodenkan pertanian bagi sekuriti makanan dan pertumbuhan pekerjaan serta pembangunan sumber manusia yang inklusif dan efisien.
Status kerjasama ASEAN Plus Three dalam buruh
Para menteri yang bersidang mengambil maklum akan kesan buruk pandemik COVID kepada kesejahteraan dan mata pencarian pekerja, lebih-lebih lagi kumpulan terdedah di rantau berkenaan.
Penerimaan Deklarasi ASEAN bagi Mempromosikan Daya Saing, Daya Tahan dan Ketangkasan Pekerja oleh Pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 pada 2021, bertindak sebagai pendirian kolektif bagi sektor buruh ASEAN untuk bertindak kepada impak gangguan berganda yang disebabkan oleh Revolusi Industri Keempat (4IR) dan pandemik COVID dengan penglibatan sektor swasta, masyarakat awam dan pihak-pihak berkepentingan relevan yang lain dalam membangunkan penyelesaian yang efektif.
Para menteri yang bersidang menekankan kepentingan kerjasama ASEAN Plus Three bagi buruh ke arah matlamat jangka panjang untuk membangunkan komuniti Asia Timur berdaya tahan, dengan ASEAN sebagai tenaga penggerak.
Mereka mengambil maklum perkembangan yang dibuat dalam Pelan Kerja SLOM+3 2021-2025 serta menekankan komitmen untuk mempromosikan lanjut pembangunan sumber manusia, pertumbuhan inklusif, pembangunan mampan sebagai respons kepada integrasi ekonomi ASEAN, dialog sosial serta kesihatan dan keselamatan pekerjaan di tempat kerja.
Mereka turut mengambil maklum dan menghargai sokongan China dalam pelaksanaan Projek ILO-China bagi Mengukuhkan Pembangunan Kemahiran di Kemboja, Laos dan Myanmar melalui Kerjasama Triangular dan South-South.
Mereka juga mengambil maklum akan pelaksanaan enam bengkel latihan bagi daftar pengangguran untuk ahli-ahli keselamatan sosial menggunakan sistem maklumat pasaran pekerja pada 19 hingga 30 Julai 2021 dan penubuhan rangkaian TVET di kalangan institusi Kemboja, Laos, Myanmar dan China pada Oktober 2021.
Menteri-menteri ASEAN yang bersidang menghargai sokongan berterusan Jepun kepada projek-projek ASEAN terutamanya pelaksanaan Analisis Susulan Penilaian Kendiri ACMW dalam Cadangan Forum ASEAN bagi Buruh Migran (AFML).
Para menteri yang bersidang juga mengambil maklum serta menghargai fasa 4 bagi Promosi dan Pembinaan Perlindungan Sosial dalam Projek Asia yang bermatlamat untuk melanjutkan liputan keselamatan sosial dan memperbaiki pelaksanaan skim insurans serta hubungan kepada perkhidmatan pekerjaan di rantau itu.
Menteri-menteri ASEAN juga menggalakkan Jepun untuk menyokong usaha-usaha ASEAN dalam TVET untuk melengkapkan warganya bagi masa depan pekerjaan dan gangguan 4IR.
Para menteri yang bersidang juga menyatakan penghargaan bagi sokongan Republik Korea kepada pelbagai inisiatif ASEAN ke arah memajukan dasar-dasar pembangunan kemahiran dan tenaga kerja berkemahiran termasuk pelaksanaan dan pembangunan Garis Panduan ASEAN bagi Aliran Utama Jantina ke dalam Dasar-dasar Pekerjaan dan Buruh untuk Mempromosikan Pekerjaan Baik untuk Semua, Kajian bagi Meningkatkan Daya Saing Sumber Manusia ASEAN menerusi Kurikulum TVET Responsif disokong oleh Penglibatan Industri dan Maklumat Pasaran Buruh serta Platform Pembangunan dan Penyelidikan Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC).
Masa hadapan pekerjaan dan pendidikan
Pada masa yang sama, menteri-menteri yang bersidang bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang keusahawanan menerusi kerjasama yang dipertingkatkan dengan institusi-institusi inkubator perniagaan di kalangan negara-negara ASEAN Plus Three dan menyediakan projek-projek rintis dan membangunkan kapasiti dalam negara-negara anggota ASEAN dengan menumpukan pada mempromosikan kemahiran digital, keusahawanan mampan dan hijau.