Hantaran terkini pelakon dan pelawak Malaysia, Along Cham dalam Instagram Story (IGs) mencetuskan tanda tanya apabila memberi bayangan sudah kembali bergelar duda.
Menerusi hantaran itu, Along Cham atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, berdepan dengan kemelut rumah tangga bersama isterinya, Afreena Suhaimi memaklumkan, dia sudah menyelesaikan urusan berkaitan mahkamah syariah berserta kata pagar #arbaiebujangkembali.
“Alhamdulillah, done for urusan mahkamah syariah,” tulisnya ringkas.
Sementara itu, Along ketika dihubungi menjelaskan, perkongsian berkaitan urusan pengesahan lafaz taklik dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, kelmarin.
“Tadi, saya uruskan fail pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Rendah Syariah Sepang. Tengah tunggu tarikh bicara.
“Doakan semoga segala urusan lancar dan dipermudahkan, Insya-Allah,” katanya kepada BH Online.
Pada 28 Januari lalu, Along memfailkan pengesahan lafaz cerai taklik terhadap Afreena di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Sebelum ini, BH Online melaporkan, Along mengesahkan bakal memfailkan dan membuat pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap Afreena namun enggan mendedahkan butiran lanjut.
Lantaran itu, persoalan mengenai pengesahan lafaz cerai taklik membabitkan Along dan Afreena menjadi bualan hangat pelbagai pihak terutama dalam media sosial.
Itu berikutan, Mahkamah Sesyen Sepang baru sahaja melepas tanpa membebaskan Along atas satu pertuduhan memiliki dadah disyaki kanabis yang ditemui di kediamannya di Cyberjaya, Disember tahun lalu. – Agensi