Friday, February 28, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Along Cham akan beri kerjasama siasatan kes dadah

    Pihak pendakwaan sudah pun memperoleh laporan kimia kes dadah membabitkan pelakon dan pelawak Along Cham.

    Perkara itu dimaklumkan Pegawai Pendakwa iaitu Inspektor Sutri Patang pada sebutan kes tersebut di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor hari ini.

    Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan menetapkan 7 April depan sebagai sebutan semula kes berkenaan bagi serahan dokumen.

    Ia susulan Along atau Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, tetap mengulang pendirian tidak bersalah selepas pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis seberat 1.49 gram dibacakan jurubahasa mahkamah.

    Sementara itu, Along memberitahu bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang prosiding berlangsung kelak.

    “Saya akan memberikan kerjasama yang penuh,” katanya kepada pemberita.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa pertuduhan memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 1.49 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya, Selangor pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.

    Along didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Pelawak berkenaan turut berdepan dua lagi kes dadah iaitu didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 49.61 gram di lokasi, masa dan tarikh sama. Along juga didakwa memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC) di lokasi sama, pada pukul 10 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Selangor.

    Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Sesyen Sepang melepas tanpa membebaskannya (DNAA) atas satu pertuduhan dadah jenis kanabis pada 14 Disember lalu. –

    Along terkait dengan kes memiliki dadah berbahaya jenis kanabis. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda