Along Cham belum jumpa calon isteri

Enam tahun menjalani kehidupan sebagai duda anak satu, pelawak Along Cham memberitahu dia masih belum berjumpa dengan wanita yang sesuai untuk dijadikan peneman hidup.

Menurut Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, dia mahu bakal isterinya mempunyai ciri-ciri keibuan memandangkan anaknya Ahmad Danial kini sudah berusia 11 tahun.

Pernah berkenalan dengan beberapa orang wanita namun pelawak berusia 39 tahun ini memberitahu ramai antara mereka yang berpura-pura sahaja.

“Saya ada berkenalan ramai wanita cuma ciri-ciri yang saya nak belum jumpa lagi. Benda pertama sekali, sudah tentu wanita itu perlu ada ciri-ciri keibuan.

“Selalunya saya kenal wanita, awal-awal ada nampak ciri keibuan itu. Tapi lama-lama macam dah hilang pula. Bagi saya, sifat keibuan tidak boleh dibuat-buat,” katanya kepada mStar.

Along mencari bakal isteri yang mempunyai ciri keibuan. – Agensi

Untuk rekod, Along mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Zila Seeron atau nama sebenarnya Nur Azila Seeron pada Januari 2010 namun berpisah pada Ogos 2016.

Hasil perkahwinan Along dengan Zila yang juga bekas peserta program Akademi Fantasia musim keempat (AF4) itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Ahmad Danial.

Hak penjagaan kekal Ahmad Danial diberikan kepada pelakon telefilem Hantu Kuat Ketawa itu dan Zila diberikan hak lawatan selama dua hari dalam sebulan.

Dalam pada itu, Along berkata dia masih berpegang kepada pendirian yang ingin memberi yang terbaik buat anaknya.

“Saya pegang dengan pendirian saya… masa saya lafazkan cerai di mahkamah, saya dah ikhlas kerana Allah. Saya cakap, macam mana jadi pada hidup saya pun Danial tetap amanah saya.

“Sekurang-kurangnya kalau ada ibu baharu ini, dia dapat beri kasih sayang yang secukupnya kepada anak saya,” ujarnya. – Agensi