Penyusutan berat badan pelakon Along Eyzendy, 45, akibat masalah buah pinggang menyebabkan ada yang menyangkakannya mengambil barang terlarang, lapor BH Online.
Bagaimanapun, Along berkata, dia semakin lali dan tidak mengambil peduli kata-kata orang setiap kali muncul dalam sesi langsung dalam TikTok.
“Pernah ada yang nasihatkan supaya saya berhenti mengambil dadah bila muncul di siaran langsung TikTok.
“Mula-mula dulu terasa hati juga, lama-kelamaan saya sudah tak kisah.
“Dulu penat nak jelaskan benda sama setiap kali orang bertanya, tapi sekarang kalau mereka tanya keadaan kesihatan, saya jawab okay sahaja,” katanya yang bakal beraksi dalam pementasan Teater Dang Anum (The Untold Story) antara 27 hingga 29 September ini di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.
Memegang watak Bendahara dalam naskhah arahan Amirul Haswendy, Along berkata, dia disarankan doktor mengawasi berat badan yang tidak boleh melebihi 63 kilogram.
Selepas melakukan pembedahan buah pinggang pada April 2021, Along mengaku bimbang keadaan kesihatannya akan menjejaskan kerja.
Disebabkan itu, kata Along, dia sentiasa berhati-hati dan memastikan persekitarannya selamat.
“Saya kena lebih peka, kalau ada orang yang tak sihat. Saya kena jauhkan diri sebab penerima buah pinggang sangat rapuh dan mudah dijangkiti.
“Jika keadaan teruk, saya perlu dirawat di hospital dan bimbang akan menyusahkan produksi kalau terjadi apa-apa ketika penggambaran.
“Sebagai persediaan masa depan, saya bersama rakan membuka syarikat penerbitan. Pada masa sama, saya dengan isteri juga berniaga,” katanya. – Agensi