Monday, March 31, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alonso janji Leverkusen akan berjuang hingga akhir

    BERLIN, 28 MAC – Dengan baki lapan perlawanan dalam musim Bundesliga, jurulatih Bayer Leverkusen, Xabi Alonso, berjanji bahawa pasukannya akan ‘berjuang hingga ke akhir’ dalam usaha mengejar pendahulu liga, Bayern Munich.

    Juara bertahan Leverkusen akan menerima kunjungan pasukan tangga ke-16, Bochum, hari ini dan berpeluang merapatkan jurang kepada tiga mata jika menang.

    Sementara itu, Bayern akan menentang St Pauli, yang berada satu tangga di atas Bochum tetapi memiliki kelebihan lima mata.

    Dalam sidang media pra-perlawanan semalam, Alonso yang biasanya tenang dan berhati-hati, kali ini lebih bersemangat, menyatakan bahawa perlawanan ini adalah “sangat penting… kini matlamat kami jelas, untuk berjuang hingga ke penghujung.”

    “Kami boleh mengurangkan kelebihan Bayern kepada tiga mata esok. Kami mahu memberikan tekanan maksimum kepada mereka.”

    Kemenangan dramatik 4-3 Leverkusen ke atas Stuttgart dua minggu lalu, di mana mereka bangkit daripada ketinggalan 3-1 untuk menang dengan jaringan pada masa kecederaan, mengingatkan peminat kepada aksi luar biasa mereka musim lalu dalam perjalanan menjuarai Bundesliga.

    Alonso turut mendedahkan bahawa pemain tengah Florian Wirtz, yang pada asalnya dijangka kembali pada April selepas mengalami kecederaan, kini pulih lebih cepat daripada jangkaan, memberikan Leverkusen dorongan tambahan untuk terus bersaing merebut kejuaraan.

    “Dia semakin pulih. Dia hampir bersedia. Kami tidak mahu terlalu berhati-hati dengan Flo kami mahu bermain secara agresif dan mengambil risiko. Jika dia boleh bermain lebih awal, kami akan ambil risiko itu.” – AFP

    Xabi Alonso memberi reaksi ketika perlawanan Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda