LEVERKUSEN, 14 FEB – Ditanya sama ada jurulatih Xabi Alonso boleh suatu hari nanti disegani di luar Bayer Leverkusen, Ketua Pegawai Eksekutif Bayer Leverkusen, Fernando Carro berkata ‘selepas tahun lalu, ia sudah cukup untuk dijadikan patung.’
Memandangkan pencapaian besar tahun lalu, di mana Alonso membawa Leverkusen meraih kejuaraan liga dan piala tanpa kalah di Jerman, gurauan Carro itu boleh dipercayai.
Lama dikenali sebagai ‘Neverkusen’ kerana kegagalan mereka memenangi Bundesliga dengan lima kali menduduki tempat kedua sejak 1997 dan kekalahan kepada Real Madrid dalam final Liga Juara-juara 2002, Alonso telah mengubah kelab itu selama-lamanya.
Carro, yang membawa Alonso – yang sebelum ini tidak pernah melatih pasukan divisyen utama – ke Leverkusen pada 2022, kini menghadapi cabaran untuk mengekalkannya.
Apabila Leverkusen menghubungi Alonso pada Oktober 2022, mereka berada di tempat kedua tercorot dalam carta Bundesliga, selepas memecat pengurus sebelumnya, Gerardo Seoane.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P22-3_15022025.jpg)
“Kami berpendapat kami memerlukan perubahan, satu dorongan baharu dalam pasukan,” kata Carro kepada AFP.
Alonso, bekas pemain tengah superstar yang memenangi hampir segala-galanya untuk kelab dan negara bersama Sepanyol, Liverpool, Real Madrid dan Bayern Munich, mempunyai pengalaman melatih yang terhad.
“Bagi kami, ia bukanlah satu risiko. Kami agak yakin selepas perbualan pertama beliau jelas dengan idea-ideanya dan dia dapat menerapkan idea-idanaya serta pengalamannya dalam pasukan.
“Apabila awda mempunyai rekod sepertinya, yang telah memenangi hampir segala-galanya, apabila awda menggabungkan keperibadiannya dan kejayaan sukan, ia mempercepatkan segalanya.”
Alonso menstabilkan keadaan, membawa Leverkusen ke tempat keenam pada 2022-23.
Setahun kemudian, Leverkusen mencipta salah satu musim terbesar dalam sejarah Eropah.
Leverkusen hanya kalah satu daripada 53 perlawanan pada 2023-24, iaitu dalam final Liga Europa, gagal meraih treble yang luar biasa. – AFP