AUSTIN, 19 Okt – Fernando Alonso semalam memberi pujian kepada Lewis Hamilton apabila dia di minta menyebutkan lima pelumba Formula Satu (F1) terbaik sepanjang masa.
Dia bagaimanapun menepikan Vettel dalam senarai tersebut.
Bercakap kepada sidang media menjelang Grand Prix Amerika Syarikat hujung minggu ini, juara dunia dua kali dari Sepanyol itu berkata Hamilton telah membuktikan bakatnya dengan memenangi perlumbaan yang tidak dijangka akan dia menangi.
“Sukar untuk membandingkan pemain dalam masa dan kejuaraan yang berlainan, tetapi jika Lewis menyamai rekod (Juan-Manuel) Fangio dengan lima kejohanan akan menjadi pencapaian hebat (buatnya),” kata Alonso.
“Sekiranya, salah seorang (pemandu) terpaksa melakukan itu dalam generasi kami, saya gembira kerana Lewis telah menunjukkan bakat dan komitmennya.

“Apabila kereta itu mendominasi, dia akan mempamerkan kelebihannya dan apabila ia tidak cukup untuk memenangi juara dunia, dia masih menunjukkan bakatnya.
“Itu sangat sukar dilihat pada masa sekarang.”
Hamilton perlu mengatasi Vettel, yang juga merupakan juara empat kali, dengan lapan mata dalam perlumbaan Ahad ini untuk meraih gelaran kelima, tetapi dia mengelakkan semua perbincangan mengenai kelebihannya dalam perlumbaan itu.
Alonso bercakap dua kali mengenai kelajuan dan bakat Hamilton. Sebelum ini, mereka berdua pernah menjadi rakan sepasukan McLaren pada tahun 2007 apabila pelumba Britain itu baru sahaja memasuki Formula Satu.
Pelumba Sepanyol itu berkata lima pemain teratasnya termasuk juara tujuh kali Michael Schumacher, juara lima kali Fangio, juara tiga kali Ayrton Senna, juara empat kali Alain Prost dan Hamilton.
“Ini mungkin pelumba terbaik dalam lingkungan lima teratas bagi saya,” katanya.
Ditanya oleh pelumba Australia, Daniel Ricciardo dari Red Bull, yang duduk dekat dengannya, jika dia memasukkan dirinya sendiri ke dalam lima teratas itu, Alonso berkata: “Tidak. Tidak.” – AFP