BRUSSELS, 20 MAC – Suruhanjaya Eropah kelmarin menyatakan bahawa penemuan awal mereka menunjukkan Alphabet, syarikat induk Google melanggar peraturan digital Kesatuan Eropah (EU), lapor agensi berita Jerman (dpa).
Siasatan mendapati syarikat itu memberi layanan lebih baik kepada perkhidmatannya sendiri berbanding pesaing, sekali gus gagal memastikan layanan yang telus, adil dan tanpa diskriminasi terhadap perkhidmatan pihak ketiga, seperti yang dikehendaki di bawah Akta Pasaran Digital EU (DMA).
“Memastikan Alphabet mematuhi sepenuhnya DMA adalah penting bagi menjamin peluang perniagaan dan inovasi kepada semua penyedia perkhidmatan digital,” kata Pesuruhjaya EU untuk kedaulatan teknologi, keselamatan dan demokrasi Henna Virkkunen.
Walaupun Suruhanjaya mengakui bahawa Alphabet telah melaksanakan beberapa perubahan pada Carian Google, siasatan mendapati syarikat itu masih memberikan keutamaan kepada perkhidmatannya sendiri dalam bidang seperti membeli-belah dalam talian, tempahan hotel, keputusan sukan dan pengangkutan.
Penemuan itu turut melibatkan Google Play Store, dengan Alphabet didakwa gagal memaklumkan pengguna mengenai pilihan alternatif yang lebih murah, mengarahkan mereka kepada tawaran itu, serta membenarkan mereka membuat pembelian dengan mudah. – Bernama
