Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alphard 2023 tampil gah

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Para penggemar kenderaan Toyota kini berpeluang untuk melihat dan mendapatkan maklumat mengenai ciri-ciri istimewa bagi Toyota Alphard 2023 yang diperkenalkan oleh NBT Brunei, pengedar sah bagi kenderaan Toyota di Negara Brunei Darussalam.

    Toyota Alphard yang mula diperkenalkan pada 2002, kini telah mencapai generasi keempat di mana Alphard terbaharu mengetengahkan rekaan yang lebih anggun dan gagah jika dibandingkan yang terdahulu dengan memberikan rekaan yang tampak lebih mewah serta prestasi lebih gah.

    Generasi terkini Toyota Alphard masih mengekalkan ciri-ciri keanggunannya yang membuatkan penumpangnya dapat menikmati pengalaman perjalanan yang premium dan selesa.

    Dengan prestasi yang dipertingkatkan, Alphard terkini juga mengetengahkan penggunaan minyak lebih efisien, pengurangan bunyi dan getaran serta dinamik pemanduan lebih baik.

    NBT telah membawa dua varian enjin ke pasaran Brunei iaitu Turbo 2.4 dan Natural Aspirated (NA) 2.5 yang boleh disaksikan sendiri oleh orang ramai di kesemua dewan pameran Toyota.

    Pengunjung melihat dengan lebih dekat ciri-ciri menawan dan anggun Toyota Alphard terbaharu. – Gambar oleh Sim Y.H.
    Pengurus Pemasaran NBT, Anderson Lim (kanan), Ketua Kumpulan TTAP, Manville Kang (dua, kanan) dan Eksekutif Kanan, Shina Teo (kiri) bergambar ramai di hadapan Toyota Alphard 2023. – Gambar oleh Sim Y.H.

    Namun begitu, Alphard Turbo 2.4 hanya terdapat di cawangan Gadong manakala NA 2.5 terdapat di kesemua cawangan.

    Toyota Alphard Turbo 2.4 yang juga dikenali sebagai Executive Lounge, mempunyai enjin petrol pengecas turbo empat silinder, inline, 16-valve DOHC, chain drive (Dual VVT-i) dengan transmisi auto lapan kelajuan.

    Sementara itu, Toyota Alphard NA 2.5 mempunyai enjin petrol empat silinder, inline, 16-valve DOHC, chain drive (Dual VVT-i) dengan transmisi auto tujuh kelajuan.

    MPV mewah berkenaan hanya datang dalam dua warna iaitu hitam dan putih di mana ia mengetengahkan rekaan luaran dan dalaman yang bukan sahaja menawan tetapi juga menawarkan keselesaan buat kedua-dua pemandu dan penumpang.

    Bagi Toyota, keselamatan kenderaan kekal menjadi keutamaan dan Alphard terbaharu juga dilengkapi dengan Toyota Safety Sense (TSS versi 3.0).

    Monitor pemandangan panorama generasi keempat Alphard juga memberikan pemandu pandangan 360 darjah sekeliling kenderaan berkenaan dan Alphard terkini juga dilengkapi dengan beg udara keselamatan, AVS, Hill-Start Assist dan Child Protection.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda