Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Seramai 100 alumni Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan (MPUSB) sesi pengajian 1997-2000 bersama 20 orang pensyarah jemputan berhimpun dalam suasana penuh kesyukuran dan ukhuwah sempena Majlis Mengenang Jasa dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun, yang berlangsung baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah mantan Pengetua MPUSB, Haji Abdul Rahim bin Haji Gantang.
Majlis istimewa berkenaan diadakan bagi memperingati 25 tahun detik bersejarah bermulanya pengajian kumpulan tersebut di MPUSB, sekali gus mengenang jasa para murabbi selain membina semula jaringan persahabatan dalam kalangan alumni.
Acara dimulakan dengan bacaan doa dan diteruskan dengan ucapan penghargaan mewakili seluruh alumni, antara lainnya menyentuh jasa para pensyarah, murabbi serta tenaga pengajar MPUSB dalam membentuk sahsiah dan kecemerlangan ilmu sepanjang tiga tahun pengajian.
“Kehadiran para asatizah amatlah bermakna dalam memeriahkan majlis ini, sekali gus menyemarakkan rasa rindu, hormat dan kasih terhadap insan-insan yang telah membentuk asas keilmuan dan keperibadian kami,” ujar wakil alumni dalam ucapannya.
Majlis berkenaan diadakan dengan empat objektif utama iaitu mengenang dan menghargai jasa para pensyarah dan tenaga pengajar MPUSB, memupuk semangat ukhuwah serta kebersamaan sesama alumni, menjalin semula silaturahim dan kerjasama dalam pelbagai bidang dan menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas segala nikmat umur, kesihatan dan rezeki sejak menamatkan pengajian di MPUSB.
Tanggal 1 Julai 2025 menandakan detik bermakna 25 tahun sejak alumni sesi tersebut mula berkhidmat di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), dengan ramai daripada mereka kini berumur antara 48 hingga 52 tahun.
Ucapan turut menyentuh kenangan manis dan penuh nostalgia ketika zaman pengajian – dari minggu orientasi, aktiviti di surau dan perpustakaan, hiasan bersama keluarga angkat, mini teater, hingga ke perbualan di kantin – semuanya membentuk ikatan persaudaraan erat yang masih utuh sehingga kini.
Ramai daripada alumni kini menjawat pelbagai jawatan penting dalam bidang pendidikan dan dakwah seperti guru kanan, guru besar, pegawai pengajian Islam, pensyarah, imam dan pemimpin komuniti.