Wednesday, October 16, 2024
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alumni SRMA bertemu semula raikan Hari Guru

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 15 OKT – Alumni Sekolah Rendah Muhammad Alam (SRMA) menyambut Hari Guru dengan majlis sederhana dan sarapan pagi, baru-baru ini, di Kafe Kenyalang, Kelab Panaga Seria.

    Pengerusi majlis, Awang Hassan bin Haji Masri mengalu-alukan kehadiran bekas pelajar dan guru yang pernah belajar dan mengajar di sekolah itu dari 1953 hingga 1988, sambil masing-masing berkongsi kenangan mereka.

    “Walaupun ramai di antara kita telah berusia dan mempunyai kehidupan sendiri, kita masih dapat berkumpul untuk memperbaharui persahabatan dan memperingati jasa guru,” katanya.

    Beliau menambah bahawa bersempena meraikan Hari Guru, alumni telah mengunjungi sekolah pada hujung September untuk menyampaikan sumbangan kepada para pelajar yang memerlukan dan anak-anak yatim bagi meringankan beban mereka serta menyokong usaha guru dan misi sekolah.

    Sementara itu, Awang Sabtu bin Timbang, yang pernah mengajar di sekolah itu selama dua tahun, turut dijemput untuk mengongsikan pengalamannya, di mana beliau telah mengongsikan kenangan indah bersama pelajar-pelajarnya sewaktu mengajar di sekolah berkenaan.

    Pelbagai permainan dan aktiviti menarik diadakan untuk memperingati acara tersebut termasuk nyanyian lagu Guru Oh Guru, pemotongan kek bagi meraikan Hari Guru, dan penyampaian hadiah kepada peserta-peserta bertuah melalui cabutan bertuah.

    Acara pemotongan kek bersempena Hari Guru. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Awang Sabtu ketika mengongsikan kenangan indah sewaktu mengajar di Sekolah Rendah Muhammad Alam. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda