Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alunan dikir bergema di Istana Nurul Iman

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Majlis Dikir Maulud sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW di Istana Nurul Iman diteruskan bagi malam kelima, semalam, bertempat di Surau Istana Nurul Iman bersama pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Hadir di majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Turut serta dalam majlis di bahagian lelaki ialah ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kumpulan Belia Masjid Kampung Bengkurong serta warga Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

    Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Isyak berjemaah, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah, Sayyidul Istighfar serta bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dipimpin oleh Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya dari KUPU SB. Seterusnya, ceramah agama bertajuk Menghayati Sunnah Rasulullah disampaikan oleh Awang Abdul Khaliq bin Kamree.

    Persembahan dikir dimulakan dengan Dikir Assalamualaika dan Asyraqal diikuti Dikir Khairuman, Bisyahrin, Al-Hamdu serta Badat. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Sementara itu, majlis seumpamanya turut berlangsung di Surau Perempuan Istana Nurul Iman yang dihadiri oleh warga wanita KHEU, Kumpulan Muslimah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Muslimah Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien Kampung Katimahar serta KUPU SB.

    Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dipimpin oleh Dayang Najwa ‘Aleesya binti Rokiman dari KUPU SB, manakala ceramah agama disampaikan oleh Dayang Norhayati binti Haji Abdul Rahman.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa hadir di Majlis Dikir Maulud sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW di Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda