Saturday, July 26, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alunan tausyeh Firqah An Najmi, Akhawiyat Ar Rahmah pikat hati juri

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 25 JULAI – Pasukan Firqah An Najmi dan Akhawiyat Ar Rahmah masing-masing muncul di tempat pertama dalam pertandingan tausyeh bagi pelajar-pelajar sekolah Arab dan sekolah agama daerah ini yang diadakan pada malam 24 Julai di Pentas Malam Gerai Perayaan, Tudong Saji, Kuala Belait.
     
    Pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Islam Daerah Belait itu adalah bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79.
     
    Pada malam tersebut, lapan pasukan telah bertanding dalam dua kategori iaitu Lelaki dan Perempuan dengan persembahan dinilai oleh panel hakim berdasarkan tajwid, fasahah, teknik dan mutu suara.
     
    Bagi Kategori Lelaki, Firqah An Najmi dari Sekolah Ugama Ahmad Tajudin telah meraih tempat pertama dengan markah keseluruhan 93.5, diikuti oleh Firqahul Jahwari dari Sekolah Ugama Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar (SUPJNPHAB) di tempat kedua dengan 91 markah, dan Ukhwah Fillah dari Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SUPSBSOAS) di tempat ketiga dengan 88 markah.
     
    Sementara itu, bagi Kategori Perempuan, Akhawiyat Ar Rahmah dari Sekolah Arab Belait menduduki tempat pertama dengan 93 markah, diikuti oleh Firqatun Na’imah dari SUPJNPHAB dan Nawwarah dari SUPSBSOAS yang masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga dengan markah 92 dan 90.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid dari Jabatan Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Akup bin Haji Lamat.
     
    Antara peserta yang berentap dalam pertandingan tausyeh di pentas Gerai Perayaan Daerah Belait. Persembahan Pentas Perayaan Bercorak Keagamaan itu adalah bagi menyemarakkan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah yang ke-79. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada pemenang Kategori Lelaki pada majlis yang diadakan di Pentas Malam Gerai Perayaan, Tudong Saji, Kuala Belait. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Gambar ramai pemenang Kategori Perempuan bersama tetamu kehormat pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Antara tetamu yang hadir pada majlis itu. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda