Saturday, November 16, 2024
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alvarez bantu Atletico raih kemenangan

    VIGO, 27 SEPT – Julian Alvarez muncul wira Atletico Madrid dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90 bagi memastikan kemenangan tipis 1-0 ke atas Celta Vigo dalam saingan La Liga, semalam.

    Meskipun satu mata sudah mencukupi buat skuad kendalian Diego Simeone, mereka berjaya membawa pulang tiga mata penuh selepas pemain gantian, Alvarez, menyempurnakan hantaran lintang Antoine Griezmann.

    Celta Vigo mempunyai lebih banyak peluang sepanjang perlawanan, manakala Atletico, yang kini berada di tangga ketiga, gagal menampilkan aksi meyakinkan menjelang pertembungan mereka dengan juara bertahan, Real Madrid, Ahad ini.

    “Kami tidak bermain dengan baik di bahagian serangan pada separuh masa pertama,” kata Simeone kepada DAZN.

    “Pemain gantian memberikan lebih kreativiti, membolehkan kami meraih kemenangan,” tambahnya.

    Simeone turut menurunkan anaknya, Giuliano, buat kali pertama sebagai kesebelasan utama selepas beberapa penampilan sebagai pemain gantian, manakala penyerang baharu, Julian Alvarez, diletakkan di bangku simpanan.

    Atletico tidak mencatat sebarang percubaan tepat sepanjang separuh masa pertama, manakala Celta hampir membuka jaringan apabila rembatan Iago Aspas diselamatkan oleh penjaga gol, Jan Oblak, sebelum waktu rehat.

    Penjaga gol Slovenia itu sekali lagi menjadi penyelamat pada minit ke-57 dengan menghalang tandukan jarak dekat Borja Iglesias, untuk mengekalkan kedudukan Atletico. – AFP

    Aksi Alvarez semasa perlawanan liga Sepanyol di stadium Vallecas di Madrid, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda