BARCELONA, 8 MEI – Pendakwa raya Sepanyol kelmarin berkata mereka telah memfailkan rayuan di Mahkamah Agung terhadap keputusan kontroversi yang membatalkan sabitan kes rogol membabitkan bekas bintang bola sepak Brazil dan Barcelona, Dani Alves – sambil mendakwa keputusan itu ‘tidak rasional’ dan seolah-olah ‘menghukum mangsa secara moral’.
Alves, 41, dijatuhi hukuman penjara empat tahun setengah pada Februari tahun lalu selepas didapati bersalah merogol seorang wanita muda di bilik mandi VIP sebuah kelab malam di Barcelona pada 31 Disember 2022.
Namun, Mahkamah Rayuan Barcelona membatalkan sabitan itu pada 28 Mac lalu, dengan menyatakan wujud ketidakselarasan dan percanggahan dalam perbicaraan serta kekurangan bukti untuk membuktikan kesalahan bekas pemain itu.
Alves tetap mempertahankan kejadian itu berlaku atas dasar suka sama suka.
Tindakan mahkamah membatalkan sabitan itu mencetuskan kemarahan kumpulan feminis dan beberapa pemimpin dalam kerajaan berhaluan kiri Sepanyol.
Dalam dokumen rayuan yang dilihat agensi AFP kelmarin, pejabat pendakwa raya mengkritik apa yang disifatkan sebagai ‘penilaian bukti yang terburu-buru dan tidak rasional’ oleh mahkamah rayuan.
Menurut mereka, mahkamah membuat kesimpulan ‘ia benar-benar salah dan tidak rasional, malah sewenang-wenangnya’, terutama dalam menilai perbezaan antara keterangan mangsa dengan rakaman tingkah lakunya menerusi CCTV. – AFP
