Thursday, March 20, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alves sedia lakar sejarah

    PARIS, 13 Julai – Pemain antarabangsa Brazil Dani Alves mengakui prospek ‘melakar sejarah’ dengan memenangi Liga Juara-Juara bersama Paris Saint-Germain menjadi faktor keputusannya untuk menyertai pasukan heavyweight Perancis.

    Alves diperkenalkan sebagai pemain kedua ditandatangani kelab pada musim tertutup kelmarin dengan perjanjian dua tahun di atas perpindahan percuma selepas keluar dari Juventus bulan lalu.

    Pemain berusia 34 tahun itu memenangi tiga gelaran Liga Juara-Juara dan enam gelaran La Liga di Barcelona dan tidak hairan bekas pengurusnya Pep Guardiola dikatakan cuba membawa Alves ke Manchester City.

    Tetapi bek kanan itu menolak peluang untuk bersatu semula dengan Guardiola apabila PSG menawarkan Alves perjanjian bernilai 14 juta euro (AS$16 juta) setahun, dua kali ganda daripada jumlah yang ditawarkan City, menurut laporan di Perancis,.

    “Saya bukan hanya mendapat tawaran dari Manchester City, kelab-kelab lain di England pun ada juga. Saya mempunyai kawan di sini, isteri saya suka bandar ini dan itulah sebabnya saya berubah fikiran,” kata Alves.

    Alves memegang jersi kelab barunya semasa diperkenalkan dalam satu sidang media di Parc de Princes, kelmarin. – AFP
    Alves memegang jersi kelab barunya semasa diperkenalkan dalam satu sidang media di Parc de Princes, kelmarin. – AFP

    “Jika Guardiola berasa kecewa, saya minta maaf. Jika Manchester City berasa kesal, saya minta maaf tetapi saya bertanggungjawab.”

    Alves yang lulus ujian perubatan di ibu negara lantas diperkenalkan dalam satu sidang akhbar di Paris sambil memegang baju baru dengan angka 32 di belakangnya.

    Dia meninggalkan gergasi Itali Juventus dua minggu lalu setelah membantu mereka bergelar juara Serie A dan Coppa Italia serta mencecah final walaupun hanya satu musim di Turin.

    “Matlamat kami adalah untuk memenangi Liga Juara-Juara. Kami membentuk pasukan yang sangat kuat dengan matlamat ini dalam fikiran,” kata Alves.

    “Saya suka melakar sejarah dan PSG belum memenangi gelaran ini. Saya suka matlamat besar, yang istimewa dan bercita-cita tinggi dan itulah sebabnya saya berada di sini.”

    Alves menjulang Piala UEFA dua kali bersama Sevilla sebelum memenangi 23 trofi dalam tempoh lapan tahun yang luar biasa di Barcelona.

    “Percayalah saya datang ke sini untuk memenangi trofi. Kelab ini telah berkembang dengan luar biasa dan saya gembira berada di sini. Kami akan berkongsi beberapa saat hebat bersama-sama. Saya yakin! katanya.

    Alves akan menyertai pemain Brazil dengan Thiago Silva, Marquinhos dan Lucas sudah berada di Parc des Princes, sementara Presiden PSG Nasser Al-Khelaifi berkata pengambilan Alves menghantar isyarat kuat kepada pesaing mereka di Eropah.

    “Anda mempunyai banyak peluang tetapi anda memilih lamaran kami. Ini mesej besar kepada dunia,” kata Al-Khelaifi mengenai keputusan Alves untuk menyertai PSG.

    “Kami mahu memenangi banyak trofi, memenangi Liga Juara-Juara seperti yang diketahui oleh semua orang adalah impian terbesar kami. Dengan pengalaman anda, cita-cita anda, saya yakin dengan peluang untuk menang bersama.”

    Ketibaan Alves mengikuti jejak bek kiri Sepanyol Yuri Berchiche dari Real Sociedad dengan bayaran perpindahan yang dilaporkan 14 juta euro minggu lepas. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda