Penyanyi dan pelakon, Alvin Chong mengukuhkan posisinya dalam industri hiburan apabila merangkul anugerah Persembahan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Digital pada Anugerah Televisyen Asia (ATA) ke-27, di Manila, Filipina, baru-baru ini.
Alvin merangkul anugerah tersebut menerusi lakonannya sebagai Ashraff dalam drama bersiri, She Was Pretty yang diadaptasi daripada drama popular Korea Selatan.
Dia menundukkan pesaing hebat, termasuk Izzue Islam dan pelakon Indonesia, Giulio Parengkuan yang turut bertanding dalam kategori tersebut.
Alvin dalam kenyataan yang dikongsikan kepada Utusan Malaysia meluahkan perasaan syukur atas kemenangan itu.
“Saya gementar apabila ditawarkan untuk berlakon drama tersebut kerana watak diberikan berlainan dengan karakter pernah saya bawakan sebelum ini.
“Tidak dinafikan, saya agak tertekan untuk melakonkan watak itu. Tambahan pula, Choi Si-won mempamerkan mutu persembahan yang sangat baik dalam drama itu.
“Terima kasih kepada ATA untuk penghargaan ini. Tidak dilupakan juga kepada VIU dan Independent Pictures atas kepercayaan yang diberikan untuk menjayakan watak tersebut,” katanya. – Agensi
