Pelakon dan penyanyi, Alvin Chong meluahkan perasaan kecewa kerana lagu yang dihasilkannya sebelum ini tidak mendapat sambutan daripada pendengar.
Dia juga tidak merancang untuk menghasilkan lagu baharu pada tahun ini kerana hasilnya tidak seperti diharapkan, menurut laporan hmetro.
“Saya berasa penat dan tidak mahu buat lagu baru tahun ini kerana tidak laku. Lagu sudah banyak kali keluar tapi tiada orang nak dengar pun?
“Sebenarnya, saya buat lagu kerana nak buat ‘show’ (persembahan) tapi nampaknya tiada ‘show’.
“Saya bukannya penyanyi popular yang boleh bertahan dengan lagu sahaja. Jadi saya kekalkan nama dalam bidang lakonan sahajalah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Tiada Seperti Leyla TikTok Live bersama pelakon Rita Nadira di sebuah restoran di Bandar Sri Permaisuri, baru-baru ini.
Mengenai bidang nyanyian lagi, kata Alvn, dia memang meminati cabang seni yang juga menjadi hobinya itu.
“Saya buat lagu dengan mendapat inspirasi dari kawan-kawan. Saya juga pernah bekerjasama dengan komposer terkenal untuk buat lagu tetapi masih tidak laku.
“Mungkin sebab saya juga bukan penyanyi dari Anugerah Juara Lagu,” katanya yang pernah berduet dengan Janna Nick menerusi lagu Aku Kamu yang menjadi lagu runut bunyi drama bersiri My Coffee Prince.
Dari segi persaingan pula, Alvin tidak menafikan sukar untuk penyanyi bukan Melayu sepertinya dikenali ramai.
“Saya akui sukar untuk penyanyi bukan Melayu yang menyanyi lagu Melayu menjadi ‘famous’ (terkenal) kerana stesen radio pun tidak putarkan lagu itu.
“Salah sayakah lagu dihasilkan tidak mendapat sambutan? Atau nak saya buat kontroversi lagi?,” katanya yang tampil dengan bingkisan album berjudul Between The Lines pada tahun lalu. – Agensi
