Nama pelakon Alya Iman kembali menjadi sebutan selepas dikaitkan antara selebriti yang terlibat menjalinkan hubungan dengan suami orang.
Menyedari perkara itu, Alya atau Alya Ziman Azmil, 24, memberitahu dia tidak membaca komen–komen negatif di media sosial dan enggan mengenang perkara yang sudah berlalu.
“Kalau orang nak melibatkan nama saya, ia adalah di luar kawalan saya. Perkara yang sudah berlalu, dah pun berlalu.
“Saya tak nak komen apa-apa pun sebab sejujurnya saya tidak baca pun. Saya tak baca komen negatif malah setiap komen di media sosial saya pun kadang kala saya tak baca semua komen ditulis.
“Bagi saya perkara ini tidak penting dan ia tidak memberi kesan kepada saya,” katanya kepada mStar.
Alya berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran drama Pabila Dia Tersenyum yang diadakan di Sunway Pyramid, Selangor kelmarin.
Ditanya sama ada terdapat individu cuba menjatuhkan dirinya sewaktu sedang menempa nama dalam industri hiburan, Alya memberitahu dia percaya setiap rezeki itu ditentukan oleh Allah SWT.
“Saya tidak tahu dan saya tak rasa pun ada pihak yang mahu menjatuhkan saya.
“Bagi saya rezeki itu di tangan Allah. Saya hanya buat yang terbaik dan kerja saya. Rezeki itu tetap akan ada walau macam mana orang nak menjatuhkan kita,” ujarnya.
Pada tahun 2020, Alya dituduh menjalinkan hubungan sulit dengan ahli perniagaan berstatus suami orang.
Mengakui dakwaan tersebut adalah benar, Alya berkata dia dan individu berkenaan sudah mengikat tali pertunangan namun memutuskan hubungan tersebut pada Mac 2020. – Agensi
