Nama pelakon Malaysia, Alya Iman kembali menjadi sebutan warganet selepas dikaitkan antara selebriti yang terlibat menjalinkan hubungan dengan suami orang.
Menyedari perkara itu, Alya atau Alya Ziman Azmil, 24, memberitahu dia tidak membaca komen warganet di media sosial dan enggan mengenang perkara yang sudah berlalu.
“Kalau orang nak melibatkan nama saya, ia adalah di luar kawalan saya. Perkara yang sudah berlalu dah pun berlalu.
“Saya tak nak komen apa-apa pun sebab sejujurnya saya tidak baca pun. Saya tak baca komen negatif malah setiap komen di media sosial saya pun kadang kala saya tak baca semua komen ditulis.
“Bagi saya perkara ini tidak penting dan ia tidak memberi kesan kepada saya,” katanya kepada mStar.
Alya berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran drama Pabila Dia Tersenyum yang diadakan di Sunway Pyramid, Selangor pada Selasa.
Sebelum ini, warganet mengaitkan beberapa nama selebriti yang didakwa menjadi perampas suami orang dan antara yang menjadi sebutan adalah Alya.
Perkongsian itu dibuat di laman Threads berhubung kisah rumah tangga seorang pempengaruh media sosial. – Agensi
