Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alyah masuk balik kelas vokal, sesuaikan nyanyian dengan keadaan perut

    Prestasi penyanyi Datin Alyah dalam nyanyian mengalami perubahan selepas melakukan pembedahan bariatrik dua tahun lalu.

    Memetik laporan mStar, Alyah atau Nor Hasliah Abu Hasan, 43, berkata, susulan saiz perutnya yang semakin kecil adakalanya mencacatkan sedikit persembahannya ketika menyanyi.

    “Dari segi kesihatan Alhamdulillah… Cuma nyanyian saya sahaja sedikit terganggu.

    “Perkara paling susah untuk saya sekarang apabila buat persembahan sudah tidak seperti dahulu sebab perut saya sudah kecil,” katanya kepada mStar.

    Menurut Alyah, beliau menyedari perkara itu selepas mengikuti kelas vokal sebagai persediaan menyertai pertandingan The Hardest Singing Show.

    Jelasnya, beliau perlu mempelajari semula teknik nyanyian agar dapat disesuaikan dengan keadaan perutnya yang semakin kecil.

    “Nada saya jadi lambat sebab simpanan angin dalam perut tidak seperti dahulu. Jadi saya kena belajar semula.

    “Saya pun baru tahu selepas belajar vokal dengan Cikgu Dally sebab sebelum ini saya tak tahu sudah hilang kebolehan itu,” kongsinya.

    Bagaimanapun, perkara itu bukan alasan untuk tidak memberikan persembahan yang terbaik sepanjang pertandingan dan disebabkan itu beliau mengambil keputusan menyertai kelas vokal.

    Kata Alyah, beliau tidak mahu mensia-siakan peluang diberikan apatah lagi sudah lama tidak muncul di televisyen.

    “Susah itu memang susah tapi InsyaAllah saya boleh lakukannya.

    “Keadaan saya itu bukan alasan untuk berikan yang terbaik kerana sudah lama tak dapat peluang muncul di televisyen,” jelasnya.

    Untuk rekod, Alyah menjalani pembedahan bariatrik pada Mac 2022 bagi merawat masalah gastrik kronik dihadapinya sejak sekian lama.

    Malah disebabkan masalah itu, berat badannya turut naik secara mendadak iaitu sebanyak 18 kilogram. – Agensi

    Alyah bersyukur kesihatan membaik selepas pembedahan. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda