Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alyph buru kejayaan berganda

    Selepas mencetus fenomena menerusi lagu Swipe, Alyph kini mempertaruhkan single terbaharu berjudul Heat.

    Alyph atau nama sebenar, Muhammad Alif Abdullah, 33, berkata lagu itu kesinambungan daripada single kedua sebelum ini berjudul Check yang dilancarkan Februari lalu.

    Kata penyanyi rap asal Singapura ini, jika Check menceritakan mengenai keadaan hidupnya, Heat pula diinspirasikan daripada analisa dirinya dalam memburu kejayaan.

    Menurutnya, kekal dan diam tidak semestinya perkara buruk tapi yang penting adalah bagaimana meneruskan pergerakan ke depan dan menyimpan tenaga sebanyak mungkin sehingga ia diperlukan.

    Heat mengenai mencari tenaga selepas berehat untuk seketika. Ini ialah perkara biasa setiap kali saya mahu pergi bekerja atau melakukan sesuatu. Saya perlu diberikan semangat, untuk bersiap sedia pada hari itu.

    “Walaupun tajuknya mungkin menggambarkan sesuatu yang panas, Heat seumpama kereta laju yang menelusuri persekitaran yang tidak dikenali,” kata penyanyi yang sudah menceburi bidang muzik seawal usia 17 tahun lagi.

    Dia berpendapat setiap hari adalah cabaran baharu buatnya.

    Tambahnya, beberapa lirik lagu itu turut membawa maksud tersendiri dalam memastikan karier seninya berada pada tahap ditetapkan.

    “Ini bukan mengenai mahu membuktikan sesuatu kepada sesiapa. Ia adalah mengenai tidak mahu selesa kerana sentiasa ada sesuatu yang lebih besar yang mahu dicapai khususnya buat diri sendiri,” katanya menurut laporan Harian Metro. – Agensi

    Penampilan Alyph sering menjadi perhatian peminat. – nme.com
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda