Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Mahkamah Perantaraan hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia kerana mendera kanak-kanak autistik secara fizikal.
Sriyani, 42, mengaku bersalah sebelum ini atas pertuduhan mendera anak lelaki majikannya yang berusia empat tahun.
Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menangguhkan hukuman itu untuk mempertimbangkan hukuman yang setimpal terhadap defendan daripada peruntukan denda $20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.
Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Pengiran Masni berkata keputusannya mencerminkan keseriusan kesalahan dan toleransi sifar terhadap sebarang jenis penderaan kanak-kanak, apatah lagi kanak-kanak autistik.
Peguam Messrs Yusof Halim and Partners, Pengiran Khairul Nizam bin Pengiran Haji Mohd Yassin yang mewakili defendan merayu kelonggaran mahkamah sebelum keputusan dibuat, dengan alasan anak guamnya mempunyai isu keluarga dan masalah lainnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali mendedahkan insiden itu terbongkar menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah keluarga mangsa di Gadong yang menunjukkan sifat kasar defendan terhadap kanak-kanak itu pada pagi 19 Jun.
Kejadian bermula apabila defendan sedang menyuapkan makanan kepada mangsa namun mangsa memuntahkannya, yang menyebabkan mangsa dipukul.
Dengan cara yang kasar, defendan kemudian mengeluarkan mangsa dari kerusi anak damit, mendudukkannya di atas lantai dan mengelap mukanya dengan tisu.
Ibu bapa mangsa kemudian membuat laporan polis pada hari sama, menyebabkan Sriyani ditangkap keesokannya.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P1-4-Freepik_04082023.jpg)