Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amal gaya hidup sihat

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAM, 29 April – Bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan,Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Majlis Perundingan Mukim (MPM) dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara Panchor Mengkubau dan Sekolah Rendah Dato Mohd Yassin, RPN Menteri telah mengadakan Program Mukim Sihat.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada program yang berlangsung di sekolah rendah berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mohammad Isham bin Jaafar dan isteri, Datin Dr Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee.

    Sejurus pelancaran Program Mukim Sihat bagi Mukim Mentiri oleh Menteri Kesihatan, tetamu kehormat turut menyampaikan sijil lantikan bagi Duta Kesihatan Mukim Mentiri.

    Aktiviti program sihat itu diteruskan dengan sesi senamrobik, walkaton sejauh 3 kilometer, pemeriksaan kesihatan, peraduan penyediaan menu sihat, pameran kesihatan dan jualan produk kampung kelolaan MPM dan MPK Mentiri di bawah mukim berkenaan.

    Program tersebut dimeriahkan dengan taklimat mengenai pemakanan sihat seterusnya diikuti dengan penyampaian hadiah kepada pemenang peraduan penyediaan menu sihat yang disempurnakan oleh Menteri Kesihatan.

    Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mohammad Isham bergambar ramai bersama ahli MPK RPN Panchor Mengkubau.

    Antara lain tujuan program itu adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat setempat mengenai isu-isu kesihatan seperti amalan cara hidup sihat dan penyakit tidak berjangkit dan mengenai perkhidmatan yang disediakan untuk orang ramai di hospital dan pusat kesihatan, perkhidmatan pergigian, klinik mata dan sebagainya.

    Selain itu juga, untuk memperkasa masyarakat setempat untuk mengamalkan amalan cara hidup sihat secara berterusan seperti mengamalkan pemakanan sihat, melakukan kegiatan fizikal secara tetap dan mengelakkan melakukan perkara yang membawa risiko tinggi kepada kesihatan seperti merokok.

    Program berkenaan juga diharap dapat menggalakkan penduduk di kawasan mukim tersebut melakukan pemeriksaan saringan kesihatan terutama bagi mereka yang berisiko tinggi untuk penyakit tidak berjangkit selain menjadikan amalan cara hidup sihat sebagai satu inisiatif yang diungkayahkan serta dimiliki oleh MPM dan MPK sendiri.

    Dengan adanya program ini, Kementerian Kesihatan berhasrat ia bukan saja dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat tapi ia dihasratkan dapat memupuk kerjasama antara pihak kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan dengan pihak swasta dan orang ramai bagi memperkesankan komitmen dalam menerapkan cara hidup sihat sebagai budaya kehidupan seharian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda