Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Malam Munajat kali ke-165 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah diserikan dengan tazkirah bertajuk Tadabbur Surah Ad-Dukhan yang disampaikan oleh Ketua Unit Agama dan Akhlak, Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir dari Surau Darussalam, Republik Arab Mesir, Awang Ahmad Nasyaruddin bin Haji Abdul Rahim.
Menurut kenyataan KHEU, program tersebut turut mengundang tetamu khas iaitu Duta Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama Haji Mohd Salimin bin Pengiran Haji Mohd Daud yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Surau Darussalam, Mesir.
Awang Ahmad Nasyaruddin dalam tazkirahnya menyentuh mengenai kelebihan Surah Ad-Dukhan yang merupakan surah ke-44 dalam Al-Quran dan mengandungi 59 ayat.
Tergolong dalam surah Makkiyah, ia dinamakan Ad-Dukhan kerana diambil daripada perkataan Ad-Dukhan yang bererti asap, jerebu atau kabut yang terdapat pada ayat 10 dalam surah tersebut.
Surah itu mengandungi amaran Allah SWT terhadap kaum musyrik yang menentang Nabi Muhammad SAW bahawa mereka akan ditimpakan azab sengsara semasa langit membawa asap kemarau yang menyebabkan kebuluran yang amat dahsyat.
Perkara itu terjadi berikutan orang-orang kafir Mekah telah melampaui batas dalam menentang dan menghalangi agama Islam, dengan menyakiti dan menderhakai Nabi Muhammad SAW dan kerana itu Nabi SAW telah berdoa kepada Allah SWT agar diturunkan azab.
Menurutnya lagi, antara kelebihan membaca surah tersebut sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Umamah Radiallahu Anhu yang bermaksud “Sesiapa yang membaca Surah Ad-Dukhan pada malam atau hari Jumaat maka Allah akan membina sebuah rumah dalam syurga.” (HR: At Tabrani).
Tazkirah juga menyeru para hadirin untuk mengamalkan Surah Ad-Dukhan untuk mendapatkan rahmat Allah yang maha luas dan menambah iman dalam diri kita.
Surah itu juga amat digalakkan untuk dihafal selain daripada surah Al-Mulk, Yasin dan As-Sajdah.
Turut mengimarahkan acara Malam Munajat semalam ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, jawatankuasa takmir masjid, pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Mesir serta beberapa buah masjid termasuk surau dan balai ibadat dari seluruh negara berjumlah 43 buah.
Juga menyemarakkan acara tersebut ialah warga kerja KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dan juga individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.
Selesai bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, acara diteruskan dengan bacaan Surah Ad-Dukhan beramai-ramai dipimpin oleh mahasiswa Tahun 3, Ma’had Qiraat Shoubra, Mesir, Awang Muhammad Ekram ‘Afif bin Awang Mohd Hanafi.
Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Presiden Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Mesir, Awang Muhammad lzz bin Masdi Wijaya.
Sejurus selesai tazkirah, Zikir Al-Maghfirah Wa Ar-Rahmah dibacakan beramai-ramai yang dipimpin oleh mahasiswa Tahun 1, Universiti Al-Azhar, Mesir, Awangku Muhammad ldris Fadhlee bin Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim.
Bagi mengakhiri acara tersebut, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Kesejahteraan Penuntut Brunei Darussalam di Mesir, Awang Sheifol bin Haji Mohamad Heldy.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai acara Malam Munajat setiap hari Sabtu malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu.
Malam Munajat itu mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan daripada Allah SWT dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit berbahaya.