Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 23 Ogos – Sebagai usaha berterusan dalam meningkatkan kesedaran tentang pentingnya mengamalkan cara hidup sihat, bebas daripada melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang dan bersikap produktif di tempat kerja, Syarikat Mashhor General Contractor Sdn Bhd (MGCSB) sekali lagi telah menganjurkan Taklimat Anti Dadah bagi para kakitangannya yang berlangsung di ibu pejabat syarikat tersebut, hari ini.
Taklimat berkenaan telah disampaikan oleh para pegawai dari Biro Kawalan Narkotik (BKN) yang telah diundang oleh Syarikat MGCSB iaitu Hajah Norhayani binti Abdullah dan penolongnya, Pengiran Mohd Nuh bin Pengiran Mohammad.
Antara yang disampaikan semasa taklimat tersebut termasuklah mengenai akibat bahayanya penyalahgunaan dadah dan bagaimana ia boleh memberi kemudaratan ke atas pemikiran, fizikal, emosi dan tingkah laku individu sekali gus membahayakan diri mereka.
Taklimat itu juga menekankan mengenai pentingnya setiap individu mengekalkan cara hidup yang sihat dan menjauhi diri daripada perbuatan-perbuatan menyalahi undang-undang seperti penyalahgunaan dadah.
Turut hadir pada taklimat kendalian Bahagian Korporat QHSSE itu ialah Pengerusi Syarikat MGCSB, Malai Haji Abdul Hamid bin Haji Malai Mashhor; Timbalan Pengarah Operasi, Malai Shamil Faris bin Malai Haji Abdul Hamid; Pengurus Korporat HSSE, Awang Mohd Rizal bin Dr. Haji Abdul Laatif dan para pegawai kanan syarikat tersebut.