Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Mengetahui dan mengamalkan Maqasid Syariah adalah sebuah pemikiran yang diperlukan untuk memperbaiki kualiti kehidupan dunia mahupun kualiti keberislaman.
Dalam konteks pengurusan dan pentadbiran, Maqasid Syariah memainkan peranan utama yang bertujuan memelihara kemaslahatan dimana setiap aspek pengurusan dan pentadbiran mesti berteraskan kemaslahatan.
Perkara ini dijelaskan oleh Dekan Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar semasa menyampaikan ceramah bertajuk Pengukuhan Maqasid Syariah Pemangkin Kemakmuran dan Kesejahteraan Negara pada Majlis Pelancaran Program Semarak Hari Keputeraan yang berlangsung di Dewan Teater, Kompleks Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Dalam ceramah tersebut, Dr Haji Noralizam turut menyentuh mengenai memelihara lima perkara dalam aspek pemeliharaan agama, kehidupan, akal pemikiran, zuriat keturunan dan harta.
Ceramah beliau juga antara lain menjelaskan, pengurusan dan pentadbiran sesebuah kerajaan dalam Islam adalah bertepatan dengan maksud Siyasah Sya’iyyah yang menjalankan pengurusan dan pentadbiran berdasarkan sesuatu yang menjamin kebaikan dan mengelak keburukan selagi mana tidak terkeluar daripada batas-batas hukum syarak.
Katanya lagi, “Kepentingan dan peranan Maqasid Syariah tidak sahaja terhad pada penentuan dalam sesuatu permasalahan hukum, bahkan penggunaannya adalah lebih meluas untuk diaplikasikan dalam sistem pembangunan sesebuah negara Islam dalam usaha untuk memastikan penggubalan dasar-dasar dan polisi-polisi yang berkaitan dengan sosial, ekonomi, pendidikan dan politik supaya selari dengan tuntutan dan lunas-lunas Islam”.
Beliau seterusnya menegaskan, tindak-tanduk pemerintah harus berteraskan kepada kemaslahatan yang merupakan kayu ukur penting untuk pemerintah memahami akan garispanduan dalam membentuk polisi ke atas rakyatnya.
Program berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Penerangan, JPM melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik sebagai menyemarakkan dan memeriahkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 Tahun.