Saturday, November 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amal minda keusahawanan, terap kreativiti

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Para pelajar Politeknik Brunei (PB) disarankan untuk mengamalkan minda keusahawanan, menerima inovasi, kreativiti dan inisiatif. Dengan mengamalkan minda berkenaan, bukan sahaja untuk memberikan manfaat dalam pengajian mereka tetapi juga akan mempersiapkan mereka bagi cabaran-cabaran tenaga kerja pada masa hadapan.

    Oleh itu, sama ada mereka merancang untuk memulakan perniagaan mereka sendiri atau menyumbang kepada industri, berfikiran seperti seorang usahawan akan memberikan mereka kelebihan untuk berjaya dalam persekitaran kompetitif dan dinamik.

    Saranan itu dibuat oleh Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon dalam ucapan alu-aluannya semasa merasmikan kemasukan pelajar-pelajar baharu PB pengambilan ke-14 bagi Sesi Akademik Julai 2024/2024 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bridex, Jerudong, hari ini.

    Beliau seterusnya berharap para pelajar baharu akan merebut peluang berharga yang diberikan untuk mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran dan latihan serta mempunyai pembangunan diri dan daya tahan yang kuat untuk melangkah ke hadapan ke arah menjadi sumber manusia berkemahiran tinggi untuk menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

    Lim Kian Boon dalam ucapannya lagi percaya bahawa usaha bersama semua pihak di PB khususnya para pelajar adalah amat penting untuk memastikan PB mencapai visinya iaitu untuk ‘Menjana Graduan Siaga Masa Depan dan Inovatif’ dan juga menerusi misinya iaitu untuk menyampaikan latihan dan pendidikan berkualiti berpandukan industri.

    Lim Kian Boon menyampaikan ucapan khas semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: Para pelajar baharu PB melafazkan ikrar pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara pelajar baharu PB pengambilan ke-14. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Pada masa yang sama, beliau turut menyeru para pelajar untuk menyemai nilai teras institusi berkenaan iaitu ‘Tafawwuq’ yang bererti kecemerlangan ke dalam jiwa dan keperibadian mereka bagi mencapai kecemerlangan pembelajaran, kerjaya dan kehidupan untuk menyokong pembangunan negara khususnya dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Majlis diteruskan dengan bacaan lafaz ikrar oleh pelajar-pelajar pengambilan ke-14 yang diketuai oleh Awang Mohd Hazmie bin Mohd Nur Hakeem, pelajar yang mengambil Level 5 Diploma in Business Studies (Human Capital Management), Sekolah Perdagangan, PB.

    Seramai 839 orang pelajar baharu yang terdiri daripada 432 orang pelajar perempuan dan 407 orang pelajar lelaki menyertai Minggu Orientasi Pelajar PB Pengambilan ke-14 yang diadakan selama tiga hari bermula 17 Julai hingga 20 Julai.

    Majlis orientasi yang diselenggarakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), PB, bermatlamat untuk memperlihatkan penyertaan serta kerjasama dan juga ke arah mengeratkan hubungan antara pelajar dan pihak pentadbiran serta kakitangan PB.

    Minggu orientasi diisikan dengan program-program, taklimat dan aktiviti yang dapat membantu para pelajar untuk mengenali Politeknik Brunei dengan lebih mendalam dan memberikan gambaran kehidupan sebagai pelajar institusi berkenaan.

    Ia juga diisi dengan aktiviti-aktiviti yang diharapkan dapat membantu pelajar-pelajar menjalani pengajian dan kehidupan yang produktif dan inovatif selama pembelajaran mereka di PB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda