Friday, January 3, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amal pemasangan elektrik yang selamat

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Bahaya elektrik adalah salah satu musibah yang paling biasa berlaku di tempat kerja khususnya di tapak kerja pembinaan.

    Dengan mengenal pasti bahaya elekrik ia akan membantu meningkatkan kesedaran mengenai akibat atau risikonya.

    Risiko pendedahan kepada elektrik sering menyebabkan kecederaan kepada pekerja dan dalam senario kes terburuk boleh membawa kepada kematian.

    Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Pembarigaan Amalan Terbaik Pemasangan Elektrik yang Selamat yang berlangsung di Dewan Teater, JPM, hari ini.

    Menurutnya lagi, adalah malang untuk mengambil maklum bahawa kecederaan dan kematian di tempat kerja berlaku hampir setiap tahun di Negara Brunei Darussalam di mana kebanyakannya berpunca daripada amalan tidak selamat atau pemasangan elektrik tidak selamat di tempat kerja.

    Dalam hubungan itu, adalah diharapkan dokumen-dokumen amalan terbaik pemasangan elektrik yang selamat dapat menjadi garis panduan praktikal kepada semua pihak berkepentingan yang relevan ke arah pemasangan elektrik selamat di negara ini.

    Beliau menggalakkan Jawatankuasa Keselamatan Elektrik (ESCOM) untuk terus mengambil pendekatan strategik dan kolektif kepada menangani isu-isu semasa dan masa depan memastikan pematuhan Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja 2009 dan peraturan-peraturan relevannya.

    Selaras dengan Wawasan Brunei 2035, Pengiran Haji Jamra Weira menekankan pentingnya penggunaan elektrik selamat dengan matlamat untuk mengurangkan kematian berkaitan kerja kepada sifar.

    Usaha itu, tekannya, memerlukan pendekatan seluruh negara untuk memastikan Brunei menjadi sebuah tempat yang selamat untuk bekerja dan menjalani kehidupan.

    Pengiran Haji Jamra Weira semasa menyampaikan ucapan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Suasana semasa majlis tersebut diadakan di Dewan Teater, JPM, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda