Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amal pendekatan menyeluruh tangani pencemaran sungai

    KUCHING, 9 JUN – Malaysia mengamalkan pendekatan menyeluruh dan bukan sekadar merawat dalam menyelesaikan masalah pencemaran sungai, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

    Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata langkah pencegahan pencemaran sungai giat dilaksanakan menerusi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta penubuhan jawatankuasa di peringkat daerah bagi memastikan ekosistem aliran sungai terjaga.

    “Langkah pencegahan ini hanya dapat dilakukan di peringkat komuniti, jadi di sinilah kita bawa setiap agensi yang terlibat dan kita akan berikan kesedaran semua orang rasa tanggungjawab menjaga sungai…satu tindakan yang kecil (namun), ia akan dapat menyelamatkan daripada sungai kita tercemar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perayaan Duan Wu (Festival Bot Naga), hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan seorang pakar alam sekitar yang dilaporkan sebagai berkata Malaysia dilihat cenderung untuk mengamalkan pendekatan merawat dan bukannya mencegah justeru mengakibatkan isu pencemaran sungai tidak berkesudahan.

    Fadillah berkata Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai yang ditubuhkan di peringkat negeri baru-baru ini akan turut memperincikan langkah untuk dikuatkuasakan secara bersepadu membabitkan negeri, Persekutuan serta badan bukan kerajaan.

    Mengulas lanjut, beliau berkata sistem pembuangan sisa kumbahan secara terus ke sungai terutamanya di kawasan kampung menjadi antara faktor pencemaran sungai. – Bernama

    Datuk Seri Fadillah Yusof (dua,kiri) dan isteri, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir (dua, kanan) semasa menghadiri program sambutan perayaan Duan Wu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda