KOTA KINABALU, 27 Dis – Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata amalan saling kunjung-mengunjungi terutama pada musim perayaan mampu mengeratkan perpaduan serta mengukuhkan perasaan kekitaan dalam kalangan masyarakat.
Menurut Musa, amalan kunjung-mengunjungi yang lazimnya dilakukan masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan di Sabah seperti ketika perayaan Aidilfitri, Tadau Kaamatan, Krismas dan seumpamanya juga berupaya mengeratkan rasa persaudaraan.
“Ini (saling kunjung-mengunjungi) akan kita teruskan supaya ia memperkukuhkan (perpaduan) kita dan memperkuat hubungan kita. Dengan itu, kita boleh membangunkan negeri kita Sabah yang tercinta ini,” katanya kepada pemberita ketika berkunjung ke rumah terbuka Krismas anjuran Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) di Tamparuli, Tuaran hari ini. – Bernama