GALENA, ALASKA – Ketika ais mencair di Sungai Yukon, Jake Pogrebinsky melihat air dari pantai, mencari kayu balak besar yang terapung di hilir.
Apabila dia ternampak satu, dia melompat ke dalam bot kayunya dan meluncur ke arahnya, menggergaji sebarang akar atau dahan yang mungkin masih melekat. Kemudian dia menyeret kayu balak dengan tali ke arah pantai, di mana ia akan digunakan dalam komuniti di sini di tengah Alaska.
Pogrebinsky, 59, telah mengumpul kayu hanyut di perkampungan Galena yang terpencil dan terbentang luas ini selagi dia ingat. Ia adalah sebahagian daripada tugasnya, tetapi ia juga membawa kegembiraan yang besar kepadanya. “Melakukan kerja ini, ia adalah masa terbaik,” katanya.
Di Alaska tengah luar bandar, sebuah kampung berada di tengah-tengah transformasi tenaga bersih yang dikatakan penduduk tempatan akan meningkatkan penjimatan, membina daya tahan dan menyediakan pekerjaan. Galena mahu mengawal kebergantungannya pada diesel import mahal yang apabila dibakar menjadi salah satu penyumbang terbesar pelepasan pemanasan planet.
Hampir 10 tahun yang lalu, kampung itu mula menebang pokok untuk dijadikan bahan bakar loji biojisim untuk memanaskan sekolah berasrama, sekali gus menghapus kira-kira 100,000 gelen diesel setiap tahun.








Puak tempatan, Louden Tribe menggalakkan orang ramai untuk mengumpul kayu balak terapung dari Sungai Yukon yang boleh digunakan untuk kayu api dan membantu rumah lestari yang dibina mereka untuk ahli. Dan tidak lama lagi ladang solar 1.5 megawatt itu membolehkan bandar itu mematikan enjin dieselnya dan beroperasi pada 100 peratus tenaga bersih dan boleh diperbaharui pada musim panas, dengan kuasa berlebihan disimpan dalam bateri untuk kegunaan kemudian. Ia sekali gus akan menjimatkan 100,000 gelen lagi setiap tahun.
SEDIAKAN PEKERJAAN DAN PEMANASAN
Pokok-pokok dan balak yang ditebang secara semula jadi telah lama menyusuri sungai dan lautan, dibawa oleh angin, ombak, arus dan ais, ada di antaranya diangkut oleh manusia untuk digunakan dalam pembinaan, pemanasan, peralatan dan banyak lagi. Orang asli telah melakukan amalan itu selama beribu tahun dan ia berterusan sehingga kini. Daripada membayar untuk tongkang kayu, penduduk Galena berkata mengumpul balak terapung bukan sahaja menjimatkan wang dan tenaga, tetapi juga membolehkan orang ramai berhubung dengan persekitaran mereka.
“Ia menyediakan pekerjaan tempatan. Kami menggunakan bahan tempatan, kami menggunakan buruh tempatan,” kata Brooke Sanderson, pentadbir puak tempatan untuk Louden.
Kebanyakan kayu hanyut yang dikumpul dijadikan kayu api untuk dipanaskan semasa musim sejuk yang amat dingin, tetapi ia juga diubah menjadi bahan luar untuk rumah cekap tenaga baharu yang dibina untuk ahli Puak Louden.
Mengumpul kayu balak terapung yang besar hanyalah salah satu daripada amalan lestari kampung: Selama hampir sedekad, pokok yang dituai tempatan telah dicarik menjadi serpihan kayu yang memanaskan sekolah berasrama penuh. Dan tidak lama lagi, ladang solar yang hampir siap akan mengawal pergantungan bandar pada diesel yang mahal dan diimport.
Pada musim panas 2024, puak itu menubuhkan kilang papan yang dikendalikan Pogrebinsky untuk memproses kayu hanyut dan pokok menjadi kayu. Mereka telah mencuba menuai pokok dari tanah tetapi ia terlalu memakan masa dan memerlukan tenaga kerja, kata Sanderson. Mengumpul kayu hanyut, katanya, lebih memanfaatkan masa penduduk.
Pogrebinsky boleh memberitahu awda semua sebabnya. Pertama, sungai itu membawa banyak kayu yang baik yang biasanya tidak ada di kampung itu. “Kualiti bahan sangat tinggi. … Ia boleh menjadi bahan kekal yang akan bertahan beberapa dekad.”
Dan pada masa dia mendapatkan kayu hanyut, kebanyakan pembalakan dan pembuangan dahan telah dilakukan, dan kulit kayu telah dihanyutkan.
“Ia menakjubkan. Ia menjimatkan banyak tenaga,” kata Pogrebinsky. Musim yang baik membawa masuk begitu banyak kayu hanyut sehingga awda hampir tidak dapat melihat air, tambahnya, dan bot hampir mustahil dapat digunakan.
KAYU HANYUT JUGA MEMPUNYAI FAEDAH ALAM SEKITAR
Enda Murphy, penolong profesor kejuruteraan awam di Universiti British Columbia yang telah menyelidiki kayu hanyut pantai, berkata terlalu banyak kayu boleh menyekat tumbuh-tumbuhan dalam ekosistem sensitif dan menggunakan oksigen yang diperlukan oleh ikan dan spesies lain.
Tetapi kayu balak terapung ini juga boleh membawa benih, tumbuhan dan berfungsi sebagai tempat bertenggek untuk burung dan tempat persembunyian untuk ikan. Soalan besar penyelidik masih berusaha untuk menjawab adalah: Berapa banyak yang terlalu banyak? Dan bilakah ia mula memberi kesan buruk kepada alam sekitar?
“Ini adalah sesuatu yang kami tidak faham sepenuhnya,” kata Murphy.
Dengan bantuan Pogrebinsky, Puak Louden sedang berusaha untuk mendapatkan lebih ramai orang untuk mengumpul kayu hanyut dari sungai dan menjualnya kepada kilang papan, dan dalam proses itu meraih semua faedah alam semula jadi. – AP

