Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Amalan menabung adalah tindakan bijak untuk merancang perbelanjaan kerana banyak kelebihan yang boleh didapati daripada sikap tersebut.
“Ini antaranya ekonomi seseorang itu akan lebih teratur dan terancang yang mana boleh membantu membuat persediaan bagi menghadapi keadaan yang tertentu pada masa akan datang seperti keperluan bagi perbelanjaan pendidikan anak-anak dan sebagainya,” tekan khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Kepentingan Persiapan Keluarga untuk Hari Tua’.
Menurut khatib lagi, amalan menabung juga dapat membantu ketika dalam menghadapi situasi kecemasan seperti perbelanjaan bagi masalah kesihatan atau bagi keperluan yang mendesak malah wang yang disimpan juga boleh menjadi modal pelaburan bagi perniagaan masa hadapan seperti keperluan membeli rumah, tanah dan sebagainya.
Di samping itu, wang tersebut juga boleh digunakan sebagai jaminan semasa hari tua atau apabila bersara kelak bagi menyara perbelanjaan kehidupan.
“Dengan adanya wang simpanan juga membolehkan untuk menunaikan ibadah kepada Allah seperti memberi sumbangan wakaf atau sedekah, lebih-lebih lagi untuk menyempurnakan Rukun Islam yang kelima iaitu menunaikan fardu haji,” jelasnya.
Selaku manusia, tegasnya, kita tidak dapat lari daripada mengurus dan menghadapi masalah kewangan, oleh itu pengurusan kewangan teratur dan berperancangan akan membantu menyejahterakan kehidupan kita pada masa hadapan.
Kita perlu membuat inisiatif baharu bagi mengubah sikap kita dalam pengurusan kewangan dan sebagai permulaan, langkah-langkah seperti menyemak dan menyusun semula kewangan peribadi, muhasabah diri dalam perbelanjaan dan gaya hidup.
Jika ia melebihi daripada kemampuan, kita perlu mengurangkan perbelanjaan yang tidak penting dan menyimpan wang untuk masa hadapan.
Selain itu, cuba elakkan daripada berhutang dan lebih-lebih lagi berhutang bagi perkara yang tidak berfaedah dan tidak bermanfaat, di samping mengamalkan budaya menabung iaitu menyimpan kerana dengan menabung, kita dapat membuat persediaan jika berlaku hal kecemasan.
Khatib seterusnya menjelaskan bahawa menabung itu adalah sebahagian daripada hasil pendapatan dan tidak bersikap boros dalam membelanjakannya adalah sangat dituntut dalam agama Islam.
Dalam hal menabung ini, jelasnya, pihak kerajaan Negara Brunei Darussalam telah menubuhkan Tabung Amanah Pekerja (TAP) untuk membantu ahlinya menyimpan sebahagian daripada pendapatan.
Tujuannya TAP diadakan adalah untuk memenuhi keperluan rakyat dan penduduk di negara ini dengan mengadakan simpanan mandatori dalam memberi kemudahan perlindungan sosial bagi menampung kelangsungan hidup pada hari tua setelah bersara sama ada mereka berkhidmat di sektor awam atau swasta.
Dalam skim ini, jelas khatib, kita dikehendaki untuk menyimpan sejumlah daripada gaji dan majikan juga akan menambah jumlah yang sama dalam simpanan ini melalui kadar yang ditetapkan oleh undang-undang TAP.
Manakala yang terkini diperkenalkan adalah Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) yang mana skim itu dihasratkan untuk menangani cabaran utama persaraan dan untuk memberikan persaraan yang mampan serta inklusif untuk setiap warga kerja di negara ini.
Sehubungan itu, khatib menyeru untuk sama-sama mengambil peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk kelangsungan hidup pada hari mendatang.