KANAK-KANAK memiliki sifat ingin tahu dan mahu menyentuh serta merasa semua benda yang dilihat. Menerusi cara itulah mereka belajar mengenali sesuatu benda. Setiap hari tangan anak bersentuhan dengan banyak benda dan ramai orang.
Justeru, jika tidak dimaklumkan mengenai cara yang betul untuk membersihkan diri, kuman dan bakteria yang melekat pada tangan boleh menjadi penyebab kepada ketidakselesaan dan penyakit mudah menyerang seperti selesema, sakit perut dan cirit-birit.
Akibatnya, kanak-kanak terpaksa cuti sekolah dan sedikit sebanyak mengganggu proses pembelajaran mereka.
Dengan itu, kanak-kanak harus diajar seawal mungkin untuk menjadikan membasuh tangan sebagai amalan.
Pelbagai produk anti-bakteria inovatif yang ditawarkan, untuk melindungi keluarga daripada kuman yang berbahaya.

Justeru banyak kempen juga telah giat dilaksanakan dengan tujuan untuk menggalakkan tabiat kebersihan dalam kalangan murid sekolah dengan membimbing mereka cara mengamalkan tabiat kebersihan di sekolah dan di rumah.
Ia adalah termasuk memastikan persekitaran sekolah mereka kekal bersih, sihat dan selamat demi komuniti sekolah.
Pada dasarnya, tabiat kebersihan hendaklah dipupuk sejak kecil bagi membentuk disiplin serta generasi yang sihat.
Kempen penjagaan kebersihan melalui amalan mencuci tangan adalah perlu digalakkan demi mencegah sekaligus meningkatkan kesedaran mengenai Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).