Sunday, May 11, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amalan pemakanan sihat penting untuk kesihatan badan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Kesihatan diri antara harta paling berharga yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.

    Lumrah manusia, ada yang kurang mengambil perhatian, lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan kepelbagaian makanan yang menyelerakan.

    Mungkin sesetengah ada yang tidak menyedari ataupun berpura-pura tidak tahu akan peranan pengambilan makanan berkhasiat untuk memastikan kesihatan yang baik. Daripada hidangan lauk-pauk, kuih-muih dan pencuci mulut, semuanya bagaikan ingin dinikmati mengikut hawa nafsu. Namun apabila ‘nasi sudah menjadi bubur’ baharulah sedar akan kesilapan setelah akhirnya menghidap pelbagai penyakit serius.

    Jadikan tabiat sepanjang hayat

    Pentingnya amalan pengambilan makanan yang sihat ini seharusnya dipupuk dari rumah dan seelok-eloknya sejak peringkat awal usia kanak-kanak sehingga dewasa terutama apabila usia semakin meningkat agar menjadi satu tabiat sepanjang hayat. Jadi bagaimana mendapatkan corak pemakanan yang tepat?

    Justeru setiap individu digesa untuk mengurangkan kadar gula dan garam dalam badan, serta mengelakkan makanan yang berkolestrol tinggi seperti makanan bersantan dan berminyak.

    Sebagai contoh, menukar daripada memakan ayam goreng kepada ikan salmon yang dibakar atau dikukus semestinya dapat memberi kesan yang lebih positif kepada kesihatan tubuh badan kita. Oleh itu, dengan cara mengubah gaya masakan dan juga menu yang dipesan, ia menjadi rutin harian yang sebaiknya untuk menikmati makanan yang sihat seisi keluarga.

    Sentiasa memperbanyakkan meminum air kosong dalam kehidupan sehari-hari kerana badan akan terhidrasi dengan baik serta menjadikan sistem badan berfungsi dengan lebih baik.
    Madu mempunyai pelbagai khasiat dan dianggap ibu segala makanan.
    Senaman yang dilakukan secara sistematik akan menyebabkan proses mengeluarkan peluh dan pembakaran kalori berjalan dengan cepat.

    Begitu juga halnya, pentingnya bagi kita untuk mengetahui isi kandungan bahan pada produk barangan makanan dan minuman yang ingin dibeli. Begitu mustahak kita membaca label dengan teliti kerana walaupun makanan tersebut dijamin menyihatkan, kita mestilah sentiasa berwaspada.

    Hal ini kerana gula dan garam yang berlebihan menyebabkan mudah terkena penyakit diabetes, dan garam yang berlebihan menyebabkan penyakit darah tinggi sehingga masalah obesiti.

    Banyakkan minum air kosong

    Selain itu, kita juga disarankan untuk sentiasa memperbanyakkan meminum air kosong dalam kehidupan sehari-hari. Perkara ini begitu mustahak kerana badan akan terhidrasi dengan baik serta menjadikan sistem badan berfungsi dengan lebih baik.

    Perlu diketahui juga, apabila kita kurang minum air, ia akan menyebabkan berlakunya banyak masalah kesihatan lain dan mengganggu proses penurunan berat badan. Kita disarankan minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari. Pada masa sama, kurangkan pengambilan minuman dan makanan manis.

    Sementara itu, keperluan vitamin yang mencukupi juga menjadi salah satu pemakanan yang perlu dimiliki oleh tubuh badan kita. Hal ini menjadikan kita lebih berdaya tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit atau dengan kata lain, tidak mudah jatuh sakit.

    Amalkan makanan sunah

    Dalam pada itu, agama Islam menuntut kita untuk mengambil makanan-makanan yang baik bagi menjamin kesihatan dan kecergasan tubuh badan. Malah, terdapat beberapa makanan berkhasiat dan mempunyai kelebihannya tersendiri yang sering diamalkan Rasulullah SAW.

    Beberapa makanan sunah boleh di-amalkan sebagai makanan harian seperti madu, susu kambing, delima, barli dan sebagainya.

    Madu sejenis sirup asli manis yang dihasilkan oleh lebah memiliki semua komponen keperluan hidup manusia termasuk enzim, vitamin, mineral, kandungan air dan pinocembrin iaitu bahan antioksida yang membantu meningkatkan fungsi otak.

    Bahan antioksida diperlukan bagi melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel dan ia dianggap ibu segala makanan. Amalkanlah meminum madu dengan mencampurkannya ke dalam segelas air dan minum setiap pagi ketika perut kosong.

    Selain itu, susu kambing juga merupakan penyembuhan terbaik bagi mengembangkan otak, sistem saraf dan mental. Susu kambing mengandungi segala vitamin, mineral, protein dan lemak yang penting bagi pertumbuhan jaringan otak, enzim dan neurotransmitter, sekali gus memberi tenaga untuk otak. Terdapat kajian-kajian yang menyatakan bahawa susu kambing mampu membantu masalah seperti asma, reumatik, demam kuning, insomnia dan menguatkan tulang.

    Salah satu makanan sunah yang dapat kita amalkan dalam kehidupan harian ialah safron, sejenis rempah tergolong antara bahan yang termahal di dunia dan mempunyai khasiat dan nilai komersial yang tinggi. Ia digunakan untuk warna kuning-kemerahannya yang terang, juga kerana bau dan rasanya yang pekat dan kuat.

    Khasiat utamanya merangsang pertumbuhan sel otak manusia dan menguatkan ingatan. Amat baik jika dimakan bersama madu asli. Safron dikatakan mampu mengubati penyakit sawan, penyakit hati, demam, mati pucuk serta melancarkan pengaliran darah.

    Di samping itu, barli juga tergolong sebagai makanan sunah yang berkhasiat sebagai penyejuk badan dan memiliki manfaat tertentu seperti mengurangkan kolesterol, melawaskan kencing, membantu sembelit dan mengurangkan risiko kencing manis tetapi jangan campurkan dengan gula ketika meminumnya.

    Lakukan senaman seadanya

    Sehubungan dengan itu, sambil kita menjaga pemakanan yang sihat dan teratur dan tidur yang mencukupi, senaman juga memainkan peranan penting dalam proses menurunkan berat badan.

    Senaman yang dilakukan secara sistematik akan menyebabkan proses mengeluarkan peluh dan pembakaran kalori berjalan dengan cepat.

    Maka, lakukanlah senaman tiga kali seminggu, sekurang-kurangnya 45 minit sehari bersama ahli keluarga tersayang yang sekali gus membantu mendapatkan berat badan ideal demi mencapai kesihatan fizikal dan mental bersama.

    Perlu diketahui bersama, makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Maka makanlah berpada-pada dan jangan kerana pemakanan, kesihatan kita terjejas sehingga boleh membahayakan nyawa.

    Bersama kita menjadi kesihatan diri meliputi aspek hal ehwal pengambilan makanan sihat dan teratur dalam kehidupan sehari-hari di samping melakukan pelbagai kegiatan menjurus ke arah gaya hidup sihat demi melahirkan diri, keluarga dan masyarakat memiliki ‘badan cergas, otak cerdas’, lebih-lebih lagi dalam kita mendepan dengan cabaran dan ancaman krisis kesihatan kini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda