Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Bulan Zulhijah merupakan salah satu bulan suci yang terhimpun di dalamnya dua ibadah yang sangat agung iaitu ibadah haji dan ibadah korban.
“Dalam bulan ini, kita selalu diperingatkan tentang kisah pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim AS. Dalam bulan Zulhijah ini juga terdapat 10 hari yang merupakan hari-hari yang paling disukai Allah SWT untuk seseorang melakukan amal ibadah.”
Perkara itu ditekankan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi dari Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis dalam tazkirah bertajuk Tunjukkan Amal Terbaik Kita semasa program Malam Munajat ke-138 anjuran KHEU, malam kelmarin.
Hadir pada program berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Program kali ini disemarakkan dengan penyertaan para jemaah haji Negara Brunei Darussalam secara maya dari Mekah Al-Mukarramah dan dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pengarah Urusan Syarikat Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB), Haji Mahmud bin Haji Mohamed.
Bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Limau Manis, Awang Mohammad Asdey Hazabullah bin Haji Mohd Zain yang merupakan jemaah haji Negara Brunei Darussalam dari Mekah Al-Mukarramah.
Manakala itu, Doa Munajat dibacakan oleh Guru Ugama Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Pentadbiran), Pengiran Haji Reduan bin Pengiran Haji Badaruddin juga dari Mekah Al-Mukarramah.
Selesai tazkirah, program disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai oleh para jemaah haji negara. Bagi memberkati acara Munajat, doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Imam Masjid Kampung Lumapas, Awang Azree bin Haji Ashli.
Turut mengimarahkan acara ialah ahli-ahli jawatankuasa takmir, para belia dan jemaah dari Masjid Pehin Khatib Abdullah dan Masjid Kampung Lumapas serta mereka yang hadir secara fizikal mahupun secara maya dari 73 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara di samping warga kerja KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dari kediaman masing-masing.
