Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Amalan wakaf jamin kelestarian sosio-ekonomi ummah

    Oleh Nurdiyanah R.

    Kedudukan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Islam berlandaskan Melayu Islam Beraja (MIB) dan negara zikir dengan majoriti rakyatnya yang beragama Islam, di bawah pimpinan bijaksana seorang raja yang sangat prihatin dan mengambil berat terhadap amalan dan kemajuan Islam, yang semuanya adalah asas-asas penting yang begitu kondusif bagi melestarikan wakaf di negara ini.

    Ini diperkuatkan lagi dengan sistem perundangan dan infrastruktur yang tersedia termasuk peruntukan Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-mahkamah Kadi Penggal 77 di bawah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) di mana urusan dan pentadbiran wakaf adalah di bawah tanggungjawab MUIB menerusi peruntukan Undang-undang Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-mahkamah Kadi Penggal 77 Bab 100.

    Di bawah akta berkenaan MUIB hendaklah menjadi pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf khas sekali gus mempunyai kuasa terhadap harta-harta tersebut untuk dimajukan dan dikembangkan sebagaimana dibenarkan oleh syarak.

    Itulah antara yang disampaikan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika membentangkan kertas perdana bertajuk ‘Wakaf dan Pembangunan Sosio Ekonomi’ semasa berlangsungnya Majlis Perasmian Persidangan Wakaf Antarabangsa anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2022 yang dikelolakan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Amalan wakaf berterusan

    Yang Berhormat Pehin mengemukakan amalan wakaf dipraktikkan di negara kita sejak pertengahan kurun yang ke-14, sebagai contoh masjid-masjid pada zaman tersebut didirikan daripada hasil wakaf dan sehingga kini, amalan berkenaan terus diamalkan oleh masyarakat Islam di negara ini.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar ketika membentangkan kertas perdana semasa Majlis Perasmian Persidangan Wakaf Antarabangsa anjuran KHEU dengan kerja-sama KUPU SB dan UNISSA di ICC, Berakas. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Selain itu, jelasnya wakaf juga diterima dalam bentuk tanah, wang tunai, membesarkan atau membaiki masjid dan mewakafkan peralatan bagi kelengkapan masjid.

    Semenjak tahun 1989 sehingga Mei 2021, MUIB dan badan-badan tertentu telah menerima antaranya sumbangan wakaf wang tunai sebanyak $4,012,839.94, 39 lot wakaf khas tanah, lima lot wakaf am tanah, 10 buah wakaf masjid dan wakaf barangan termasuk penghawa dingin dan kereta jenazah.

    “Sikap dan amalan untuk menghulurkan sumbangan berbentuk derma, sedekah, infak dan seumpamanya di kalangan rakyat dan penduduk negara ini sejak sekian lama sehingga hari ini adalah sangat menggalakkan. Ini tidak sahaja terbatas bagi pungutan sumbangan atau derma bagi sesuatu projek kebajikan atau keagamaan dalam negara tetapi juga di luar negara,” kongsinya.

    Ujarnya lanjut, hal ini begitu jelas menunjukkan institusi wakaf memiliki peranan yang besar dalam pembangunan negara.

    Akan tetapi kedudukan dan pencapaian negara kita dalam usaha memperkasa wakaf sebagai agen perkembangan ekonomi adalah jauh dibanding dengan kejayaan yang diraih oleh negara-negara Islam di zaman silam mahupun perkembangan wakaf di rantau ini pada masa ini.

    “Apakah tindakan proaktif perlu diambil? Dalam berhadapan dengan situasi seumpama ini, kita pada kelazimannya akan meneliti dan mengatur strategi yang bukan saja untuk bertindak melangkah kehadapan tetapi saya berpendapat kita perlu bertindak untuk melompat kehadapan,” tekannya.

    Demi mewujudkan keberkesanan wakaf

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin menegaskan perundangan adalah merupakan komponen yang amat mustahak untuk mengurus dan mentadbir amanah ini dan bagi memastikan kewujudan institusi ini secara berkesan dan efektif.

    Isu dan cabaran perundangan berlaku hampir di semua negara Islam di mana antaranya bukan sahaja melaksanakan pindaan demi pindaan dari semasa ke semasa tetapi reformasi demi untuk mensejajarkan dan menyesuaikannya dengan kehendak perubahan dan perkembangan termasuk kemajuan dalam sistem kewangan Islam.

    “Alhamdulillah, kita bersyukur MUIB pada masa ini sedang aktif meneliti rang undang-undang wakaf Negara Brunei Darussalam. Rang undang-undang ini diharap akan membantu melicinkan pelaksanaan peruntukan wakaf yang terdapat dalam Akta Majlis Ugama Islam Penggal 77. Adalah diharapkan peruntukan dalam akta ini nanti akan lengkap dan mencukupi bagi membantu agensi yang bertanggungjawab melaksanakan kandungan peruntukkan ini.”

    Jelas Yang Berhormat Pehin, kita memerlukan akta yang lebih komprehensif bagi memandu agensi yang akan mengendalikan wakaf ini secara lebih telus dan berkesan.

    Sebagai contoh konsep ‘Istibdal’ perlu diteliti bagi membolehkan tanah-tanah wakaf bersaiz kecil dengan lokasi terpinggir serta aset-aset lain dapat dimajukan.

    Namun di sebalik akta wakaf, yang sedang digubal dan inisiatif-inisiatif yang sedang dan akan dirancang, tambah beliau, perlu juga difikirkan tindakan di peringkat kebangsaan dalam menyelaras segala aktiviti yang berkaitan dengan pengurusan dan pelaksanaan wakaf, hal ini kerana cadangan-cadangan bagi menggambarkan bagaimana prospek wakaf di negara ini mencapai matlamat Maqasid Syariah, sekaligus memenuhi kehendak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam melaksanakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) melalui financial inclusion (rangkuman kewangan).

    Persoalan yang mungkin relevan dengan perkembangan mutakhir ini, tekan Yang Berhormat Pehin ialah ‘Bagaimana memperkasa pengurusan wakaf agar peranannya terus relevan dengan keadaan semasa dalam mengurus, merancang, memperkembang dan memelihara harta wakaf tersebut?’

    ‘Bagaimana mencapai hasrat pewakaf dalam terus menyumbang bukan sahaja menumpukan kepada perkara keagamaan dan pendidikan tetapi kemaslahatan yang lain sebagaimana kehendak Maqasid Syariah seperti pembangunan sosio-ekonomi dan perkhidmatan masyarakat’; dan ‘Apakah konsep dan struktur tadbir urus yang bersesuaian dalam pengawalseliaan dan penyediaan dana yang bertujuan bagi pengembangan projek harta wakaf dan kedayatahanan kewangan’.

    Terokai strategi bersama

    Sehubungan itu, Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan beberapa saranan bagi mencapai aspirasi berkenaan, antaranya menerusi pengurusan harta wakaf di mana seiring dengan penyediaan akta wakaf adalah mustahak juga bagi keperluan untuk menubuhkan sebuah agensi atau lembaga yang bertanggungjawab bagi melaksanakan akta ini. Ia bertujuan untuk membantu pentadbiran dan pengurusan wakaf lebih sistematik, tersusun dan berkesan.

    Selain itu, Badan Tanmiah Harta MUIB ditubuhkan sebagai sebuah badan pelaburan yang berfungsi mengurus sebahagian harta MUIB bagi maksud untuk memperkembangkan dan memajukan harta-harta bagi kepentingan masa depan umat Islam di negara ini. Walau bagaimanapun, badan ini hanya dapat mengembangkan beberapa aset wakaf untuk dimajukan kerana menghadapi beberapa kekangan atau halangan.

    Oleh yang demikian, penubuhan sesebuah agensi atau badan yang berautoriti lengkap dengan pengurus dan kakitangan yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk mengurus dan mentadbir wakaf amat kritikal.

    Dalam hubungan ini, adalah mustahak lembaga ini diwujudkan lebih awal tanpa menunggu selesainya penyediaan akta wakaf supaya lembaga dapat membuat persediaan yang diperlukan apabila akta ini dilaksanakan nanti sebagai langkah interim terutamanya dalam merangka terma rujukan, tadbir urus dan pelan strategik yang relevan.

    Dalam pada masa yang sama, kita mahu tenaga kerja yang bukan sahaja komited tetapi bersikap proaktif dan bersedia untuk meneroka peluang-peluang baru dalam memajukan wakaf.

    “Adalah amat mustahak sebagai satu daripada cara mengurus amanah wakaf dan agensi dengan mengamalkan good governance.

    “Satu aspek penting ialah akauntabiliti. Dalam hubungan ini akauntabiliti bukan sahaja ke atas amanah yang dipikul tetapi akauntabiliti kepada Allah SWT. Ini akan menunjukkan sikap telus pengurus kepada semua pihak terutama pewakaf dengan matlamat meningkatkan keyakinan penyumbang wakaf terhadap kredibiliti pengurusan institusi wakaf.

    “Seiring dengan perkembangan ekonomi dan kewangan Islam, serta permodenan tadbir urus, pengurusan aset wakaf pada masa ini dilihat lebih kompleks dan memerlukan kepada suatu sistem pengurusan yang cekap dan berkesan bagi menjamin kelestarian sosio-ekonomi umat Islam.

    “Pentadbiran dan pelaksanaan institusi dan produk wakaf memerlukan perubahan yang tuntas untuk ia berperanan secara lebih efektif. Institusi wakaf pula perlulah stabil, lestari dan fleksibel dalam usaha menjadikan wakaf sebagai penggerak kepada pembangunan ekonomi dan sosial umat Islam,” ujarnya.

    Antara lain yang turut disarankan ialah untuk menerokai pelbagai bentuk wakaf dalam sistem pasaran modal Islam seperti wakaf tunai, sukuk, saham wakaf, wakaf korporat dan menggabungkan wakaf dan zakat; serta begitu juga perihal usaha mengembangkan kepakaran wakaf.

    Di akhir kertas perdana, Yang Berhormat Pehin antaranya mengemukakan, Negara Brunei Darussalam mempunyai kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai seorang ketua negara dan kerajaan yang sangat bertanggung jawab dan prihatin terhadap kemajuan negara, keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk negara ini. Beliau turut menjelaskan negara kita mempunyai pemimpin negara yang mempunyai political will, komited dan keazaman tinggi untuk memperkasa perkembangan dan kemajuan agama Islam di negara ini.

    “Berasaskan kepada kedudukan ini, adalah menjadi tanggungjawab kita semua melalui pendekatan whole of nation untuk memperkasa dan merealisasikan institusi waqaf sebagai penjana kepada perkembangan ekonomi yang berdaya tahan dan bagi kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk di negara ini dan seterusnya merealisasikan aspirasi negara bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai hab kewangan Islam suatu realiti. Insya-Allah,” ucap beliau.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...