Oleh Nurdiyanah R. –
Umum kita ketahui dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba ini, hati seseorang itu mudah untuk berbolak balik, ada kalanya kita berasa gembira, sedih, takut dan gelisah.
Memang tidak dinafikan bahawa ketika kita berdepan situasi sedemikian, fikiran dan jiwa kita juga buntu, mencari-cari jalan keluar demi mendapatkan ketenangan yang sebenar.
Hakikatnya, perkara yang berkaitan dengan hati ini sering disebut dalam Islam sebagai zikrullah yang juga dianggap sebagai penawar masalah hati kerana ia adalah satu ibadat yang istimewa dan terbuka serta mudah untuk diamalkan oleh seseorang dalam apa jua keadaan.
Dengan izin dan pertolongan Allah SWT, hati kita pasti akan menemui ketenangan kembali jika memang sudah terbiasa melazimkan amalan zikir.
Firman Allah dalam Surah Ar-Ra`d, ayat 28 yang bermaksud ‘(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram.’
Terapi, zikir dan zikrullah
Apabila menyentuh mengenai maksud terapi, ia merujuk kepada rawatan sesuatu penyakit fizikal atau mental secara proses pemulihan tanpa penggunaan ubat atau pembedahan.
Dalam erti kata lain, ia merupakan pekerjaan aktiviti fizikal atau mental yang dilakukan bagi membantu merawat, memulihkan atau mengatasi masalah-masalah fizikal, emosi atau sosial yang dihadapi oleh seseorang.
Terapi itu terbahagi kepada beberapa jenis mengikut bidang-bidang tertentu antaranya terapi kaunseling, terapi dalam perubatan, terapi dalam sukan, terapi dalam seni dan sebagainya.
Manakala zikir menurut bahasa bermaksud sesuatu yang disebut dengan lisan atau menghadirkan sesuatu pada hati dan menurut istilah pula, zikir ialah ingatan hamba kepada Tuhannya sama ada dari segi zat, sifat, perubatan dan hukum, melalui membaca Al-Quran, berdoa, menyucikan, memuliakan, mentauhidkan, memuji, mensyukuri dan mengagungkanNya. Zikrullah itu pula ialah mengingati Allah SWT dengan lisan, perbuatan dan hati.
Rawat hati dengan zikir
Sementara itu, zikir merupakan amalan yang disyariatkan dalam Islam di mana segala perintah berzikir itu banyak disebutkan dalam Al-Quran dan hadis.
Sesungguhnya hati manusia ini sering dalam keadaan tidak menentu atau boleh juga disebut sebagai jiwa kacau, di mana terkadang ia lemah dan ada kalanya ia kuat, maka dengan amalan zikir ia dapat merawat hati kita.
Zikir itu mengandungi pelbagai jenis merangkumi tasbih, tahmid, takbir, tahlil, membaca Al-Quran dan sebagainya. Namun hakikatnya yang menjadi intipati daripada semua jenis zikir itu ialah ingat kepada Allah SWT.
Zikir itu merangkumi dua perkara iaitu sebutan (zikir lisan) dan ingatan (zikir hati) terhadap Allah SWT dan perkara yang berkaitan dengannnya.
Ingatan adalah hakikat zikir manakala perbuatan pula adalah laluan atau jalan bagi mencapai ingatan tersebut.
Zikrullah salah satu bukti keimanan
Oleh yang demikian, basahilah lisan kita dengan zikrullah kerana ia merupakan salah satu bukti keimanan seorang hamba kepada Allah SWT.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab, ayat 41 hingga 42 yang bermaksud ‘Wahai orang yang beriman, ingatlah (berzikirlah) serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang’.
Selain itu, dengan mengamalkan zikrullah juga, seseorang itu akan mendapat pertolongan daripada Allah SWT seperti terlepas daripada segala musibah dan juga diampunkan segala dosa-dosanya.
Natijahnya, dengan melazimkan berzikir juga, ia dapat menjadi benteng atau perisai bagi para pengamalnya sehingga mampu meningkatkan keyakinan dan keimanan kepada Allah SWT dalam kehidupan yang fana ini.
Tuntasnya, terdapat banyak manfaat apabila seseorang itu mengamalkan zikir dalam kehidupan sehari-hari, di mana keindahan alunan zikir dan getarannya pasti mampu membawa kita untuk mengingati Allah SWT, di mana kita sebagai hambaNya hanya menumpang di dunia yang sementara ini sedangkan nikmat dan kebesaran Ilahi itu adalah tidak terhingga banyaknya dan justeru itu dengan berzikir, hati kita akan sentiasa dalam keadaan tenang.