Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Amalkan diet vegetarian satu keputusan terbaik’

    KUALA LUMPUR, 15 DIS – Mengamalkan diet vegetarian selama hampir tujuh tahun,  keputusan terbaik pernah dibuat hartawan Tan Sri Vincent Tan yang menurut beliau telah mengubah kehidu-pannya menjadi lebih baik.

    Pengasas dan pengerusi eksekutif Berjaya Corporation Bhd yang akan menjangkau usia 70 tahun pada tahun ini berkata vegetarianisme ditambah pula dengan tabiat sihat dengan menghindari alkohol dan merokok, membantu beliau mengurangkan risiko penyakit kronik. 

    “Pada awalnya bukan mudah untuk menggantikan daging dan makanan laut dengan vegetarian tetapi selepas bertahun-tahun menjadi vegetarian, kini saya tidak tahan dengan bau daging dan makanan laut seperti udang,” katanya dalam ucaptama di persidangan kedua Perubatan Gaya Hidup (LM) anjuran Persatuan Perubatan Gaya Hidup Malaysia (MSLM) di sini, baru-baru ini.

    Persidangan dua hari bertemakan ‘Perubatan Gaya Hidup: Preskripsi untuk Penyakit Kronik’ bermula 1 Disember itu, membincangkan bagaimana LM dapat membantu memenuhi sasaran

    Agenda Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam mengurangkan satu pertiga daripada kematian NCD melalui pencegahan dan rawatan menjelang 2030.

    Berkongsi perjalanan bagaimana beliau mula mengamalkan vegetarian, Tan berkata segalanya bermula semasa melawat Taiwan tujuh tahun lalu.

    “Saya melawat Master Cheng Yen tujuh tahun lalu, menghabiskan tiga hari di Taiwan. Semuanya vegetarian di sana dan ketika bertemu Master, beliau mencadangkan saya untuk mengamalkan vegetarian kerana ia dapat memberi manfaat untuk saya.

    “Keputusan terbaik saya buat dalam hidup adalah dengan menjadi vegetarian selepas bertemu (Tzu Chi) Master Cheng Yen. Saya berasa lebih sihat dari segi fizikal dan mental serta rohani,” katanya.

    Tan percaya vegetarianisme cara berkesan untuk mencegah penyakit, membantunya mengekalkan paras gula dan mengawal tekanan darah selama bertahun-tahun walaupun menghadapi banyak tekanan dalam menjalankan perniagaannya. – Bernama

    Tan Sri Vincent Tan berucap semasa Persidangan Perubatan Gaya Hidup (LM) kedua di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda