Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amalkan diet vegetarian satu keputusan terbaik

    KUALA LUMPUR – Mengamalkan diet vegetarian selama hampir tujuh tahun, keputusan terbaik pernah dibuat hartawan, Tan Sri Vincent Tan yang menurut beliau telah mengubah kehidupannya menjadi lebih baik.

    Pengasas dan pengerusi eksekutif Berjaya Corporation Bhd yang akan menjangkau usia 70 tahun pada tahun ini berkata vegetarianisme ditambah pula dengan tabiat sihat dengan menghindari alkohol dan merokok, membantu beliau mengurangkan risiko penyakit kronik.

    “Pada awalnya bukan mudah untuk menggantikan daging dan makanan laut dengan vegetarian tetapi selepas bertahun-tahun menjadi vegetarian, kini saya tidak tahan dengan bau daging dan makanan laut seperti udang,” katanya dalam ucaptama di persidangan kedua Perubatan Gaya Hidup (LM) anjuran Persatuan Perubatan Gaya Hidup Malaysia (MSLM) di sini, pada Khamis lalu.

    Turut hadir pengasas dan presiden MSLM Dr Sivaneswaran Poobalasingam.

    Persidangan dua hari bertemakan Perubatan Gaya Hidup: Preskripsi Untuk Penyakit Kronik bermula 1 Disember lalu itu, membincangkan bagaimana LM dapat membantu memenuhi sasaran Agenda Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam mengurangkan satu pertiga daripada kematian NCD melalui pencegahan dan rawatan menjelang 2030.

    Gambar Freepik

    Berkongsi perjalanan bagaimana beliau mula mengamalkan vegetarian, Tan berkata segalanya bermula semasa melawat Taiwan tujuh tahun lalu. “Saya melawat Master Cheng Yen tujuh tahun lalu, menghabiskan tiga hari di Taiwan. Semuanya vegetarian di sana dan ketika bertemu Master beliau mencadangkan saya untuk mengamalkan vegetarian kerana ia dapat memberi manfaat untuk saya.

    “Keputusan terbaik saya buat dalam hidup adalah dengan menjadi vegetarian selepas bertemu (Tzu Chi) Master Cheng Yen. Saya berasa lebih sihat daripada segi fizikal dan mental serta rohani,” katanya.

    Tan percaya vegetarianisme cara berkesan untuk mencegah penyakit, membantunya mengekalkan paras gula dan mengawal tekanan darah selama bertahun-tahun walaupun menghadapi banyak tekanan dalam menjalankan perniagaannya.

    Untuk menggalakkan keluarga dan rakannya mengamalkan vegetarian, beliau hanya menghidangkan makanan vegetarian apabila menganjurkan majlis dan membuka sebuah kafe yang menyajikan 100 peratus diet vegetarian.

    Tan juga berkata hanya empat hingga lima peratus penduduk di Malaysia mengamalkan vegetarianisme sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa untuk menyemai tabiat mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan dalam rutin diet harian anak-anak mereka. “Kurangnya minat terhadap amalan vegetarian kerana adanya persepsi bahawa vegetarian hanya makan salad semata-mata. Tetapi saya makan nasi lemak, nasi briyani dan laksa kari (vegetarian),” kata beliau.

    LM ialah disiplin baharu dalam penjagaan kesihatan yang berpotensi untuk mengurangkan kematian dan morbiditi berkaitan penyakit tidak berjangkit. Enam teras utamanya, pemakanan yang kebanyakannya berasaskan tumbuhan, aktiviti fizikal, pengurusan tekanan, perhubungan sosial yang baik, tidur berkualiti serta elakkan merokok dan pengambilan alkohol. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda