Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amalkan gaya hidup sihat

    Oleh Ak Zaki Kasharan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Seramai 24 orang pelajar dari 12 buah sekolah rendah, menengah dan maktab serta pendidikan swasta menyertai Projek Rintis Program Training of Trainers bagi B-Fit4Life 2018 yang diadakan sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan remaja sekolah yang mempunyai berat badan berlebihan dengan cara mengamalkan gaya hidup sihat.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan itu ialah Pegawai Pelajaran Kanan yang juga Ketua Unit Jasmani, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Pengiran Jusri bin Pengiran Haji Hassim yang juga merupakan Pengerusi Projek B-Fit4Life.

    Antara tujuan Program B-Fit4Life dianjurkan ialah bagi meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai kemahiran hidup dalam mengatasi berat badan yang berlebihan, mengubah tingkah laku pelajar menjadi positif terhadap pengambilan makanan dan latihan fizikal mereka, mencipta persekitaran sekolah yang menggalakkan tabiat mengambil makanan yang sihat di samping bagi mengawal serta mengurangkan peningkatan obesiti meluas di sekolah-sekolah di negara ini.

    Pengiran Jusri ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

    Turut diadakan semasa majlis tersebut ialah sesi kongsi sama daripada Sekolah Menengah Rimba yang diikuti dengan penerangan carta indeks jisim badan (BMI) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) oleh Pegawai Pelajaran Kesihatan, Pusat Promosi Kesihatan, Dayang Rusydiah binti Sudin sebelum diakhiri dengan penerangan serta demonstrasi bateri ujian yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran dari Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Hafizan bin Hisham.

    Sekolah-sekolah yang dipilih bagi Program B-Fit4Life itu terdiri daripada Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Sekolah Menengah Rimba, Sekolah Menengah Berakas, Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Sekolah Menengah Chung Hwa, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Sekolah Rendah Dato Ratna Haji Muhammad Jaafar Kiarong, Sekolah Rendah Raja Isteri Fatimah dan Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 10.

    Program B-Fit4Life merupakan sebuah program yang dikendalikan bersama oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kesihatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda