Oleh Sim Y.H
Gambar serahan MD
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Para belia khususnya pelajar-pelajar diseru untuk sama-sama menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni yang terkandung dalam konsep Melayu Islam Beraja.
“Ini adalah kerana generasi muda harus mempunyai sahsiah yang jitu dan kental untuk membangun bangsa dan negaranya, memiliki keperibadian tinggi, semangat nasionalisme, berdaya saing, berwawasan, sanggup berkarih dan bejarih berpaksikan jati diri keBruneian berlandaskan konsep Melayu Islam Beraja,” seru Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja, Dr Haji Ramlee bin Haji Tinkong.
Pada masa yang sama, belia juga diingatkan agar berfungsi sebagai ejen perubahan, sokongan moral dan kawalan sosial yang berguna bagi masyarakat, tambahnya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 bagi Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) yang berlangsung di Auditorium Maktab Duli, Gadong, kelmarin.
Dr Haji Ramlee turut menekankan selain menzahirkan rasa kasih dan cinta kita kepada ketua negara, para pemimpin negara, guru dan orang tua-tua, kita harus sama-sama mengamalkan nilai-nilai murni dalam Melayu Islam Beraja seperti nilai awar galat, rasa hormat dan bersopan santun, beradab dan beretika ketika bercakap, berinteraksi dan berswafoto dengan mereka atau pihak tertentu.
“Mudah-mudahan dengan menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam Melayu Islam Beraja ini, tersemat dan mekar di hati kita, terus dipraktikkan sebagai cara hidup kita orang Brunei, bercalakkan keBruneian, identiti dan jati diri keBruneian dalam sama-sama mewujudkan silaturahim antara ketua negara, para pemimpin negara, guru-guru, orang tua-tua dan sebagainya akan terus terpelihara serta terjalin dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya.
Bagi memeriahkan lagi acara sambutan berkenaan, para pelajar Maktab Duli mengadakan pelbagai persembahan termasuk nyanyian koir dan persembahan gulintangan yang mempersembahkan lagu Samalindang, Dang Mengalai, Generasi Wawasan, Joget Baju Putih dan Joget Pahang.
Di majlis itu juga, hadiah bagi para pemenang pertandingan sempena Hari Kebangsaan ke-36 turut disampaikan bagi Peraduan Silangkata dan Pertandingan Rekaan Baju-T Hari Kebangsaan.
